NGO Terus Beri Makanan Kepada Gelandangan di Ibu Kota

Kemelut melibatkan golongan gelandangan tercetus apabila Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor melarang kegiatan meminta sedekah dan memberi sedekah di ibu kota berkenaan.

Aktiviti memberi makanan kepada gelandangan tidak ditaja syarikat swasta ataupun syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mengaut untung berjuta-juta ringgit, tetapi ia adalah inisiatif peribadi mereka yang mahu membantu golongan tidak bernasib baik ini.

Sukarelawan membawa makanan untuk diedarkan kepada gelandangan di Kuala Lumpur semalam

Membantu golongan tidak bernasib baik atau gelandangan ini tidak memerlukan anda untuk menulis cek dan bergambar masuk akhbar.

"Pendirian kami jelas, beri makanan tidak salah.

"Ia suatu yang tidak dapat diterima moral manusia apabila hendak berbuat baik tetapi tidak boleh dan dikata jenayah," kata Izwandi Ngadi, 29, salah seorang sukarelawan Dapur Jalanan.

Seperti kumpulan pemberi makan kepada gelandangan lain, Dapur Jalanan juga menjalankan aktiviti sama pada setiap hujung minggu di kawasan Jalan Panggung, di tengah ibu kota.

Baru-baru ini, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memberi kata dua kepada kumpulan yang memberi makanan kepada gelandangan.

"Kami dapur jalanan akan teruskan macam biasa, apa hendak jadi tidak kisahlah," kata beliau mengulas kenyataan Tengku Adnan baru-baru ini.

Walaupun diberi tekanan, apa yang berlaku adalah semakin ramai yang tampil untuk membantu dan menjadi sukarelawan.

Tinjauan The Malaysian Insider semalam di Jalan Panggung mendapati jumlah sukarelawan yang datang lebih ramai daripada gelandangan yang sedia ada.

Seorang gelandangan bernama Khoo Kok Ming, 57, yang menjadi pelanggan tetap Dapur Jalanan berkata kebiasaannya jumlah mereka yang mengambil makanan lebih ramai sebelum ini.

"Selalu lagi ramai daripada ini, beratur lagi panjang. Mungkin sebab ramai orang yang datang malam ini, mereka juga tidak berani untuk keluar.

"Lagipun ada juga yang bimbang kalau kena tangkap," kata Khoo.

Khoo salah seorang daripada yang tidak bernasib baik, berasal dari Klang, dia dihalau keluar rumah kerana tabiat berjudinya.

Bagaimanapun, Khoo yang sudah empat bulan menjadi gelandangan berkata sudah membuang tabiat buruknya itu.

"Sudah empat bulan saya di sini, semua tabiat judi saya sudah berhenti.

"Bukan saya tidak mahu pulang, kalau pulang tiada wang pun tidak guna," kata Khoo.

Khoo adalah warga Malaysia memiliki kad pengenalan, sihat tubuh badan tetapi tidak memiliki kerja tetap.

Beliau juga terpaksa mengutip sisa makanan yang ditinggalkan seperti di restoran makanan segera KFC sekiranya kelaparan.

"Kalau ada mereka ini beri makan, sekurang-kurangnya saya tidak perlu mengutip makanan.

"Dapat juga makanan yang baik dan enak," kata beliau.

Selain Khoo, turut ditemui dua lelaki berbangsa Melayu yang mahu dikenali sebagai Mizi, 42, dan Shahril, 45, yang sudah berada di ibu kota selama sebulan.

Kedua-dua mereka berasal dari Pahang dan datang ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan.

"Saya sebatang kara, tiada tempat bergantung. Saya datang ke sini untuk mencari kerja," kata Mizi yang masih gagal mendapat sebarang pekerjaan tetap.

Mizi yang sedang membalut rokok dengan kertas untuk dihisap mengeluh kebimbangan sekiranya ditangkap dan dihantar pulang ke Pahang.

"Saya sudah tiada siapa di sana, kalau dihantar sama juga. Saya akan jadi gelandangan juga," kata beliau.

Rakannya, Shahril pula lebih berdiam diri dan sukar untuk berbicara.

Rata-rata gelandangan ini terdiri daripada pelbagai latar belakang, muda atau tua, lelaki dan wanita.

Bukan semua memilih untuk hidup sedemikian, tetapi kesempitan dan nasib tidak menyebelahi mereka menjadi punca kehidupan di jalanan adalah pilihan yang terakhir.

Bagi Dapur Jalanan, kehadiran orang ramai yang hadir menghulurkan bantuan sangat dialu-alukan.

Isu sebenar yang menjadi permasalahan adalah peranan pihak berkuasa, khususnya agensi kebajikan yang menjadi persoalan di mana kedudukan mereka dalam menangani isu ini.

Kemelut melibatkan golongan gelandangan tercetus apabila Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor melarang kegiatan meminta sedekah dan memberi sedekah di ibu kota berkenaan.

Beliau turut memberi amaran kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang berpusat di Kuala Lumpur dan diberi tempoh hingga Isnin depan untuk berpindah keluar dari pusat bandar sekiranya tidak mahu dikenakan tindakan saman DBKL.

Ahli Parlimen Putrajaya itu turut dilaporkan berkata tindakan itu diambil sebagai langkah serius kerajaan membersihkan kegiatan golongan tidak berumah atau gelandangan serta pengemis di ibu negara.

Beliau berkata, kewujudan NGO yang memberi makanan kepada gelandangan menyebabkan imej Kuala Lumpur terjejas teruk, terutamanya daripada aspek kebersihan.

Tindakan Ku Nan itu juga mendapat reaksi daripada bekas mufti Perlis.

Bekas Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin turut mencadangkan kerajaan membersihkan Kuala Lumpur daripada pusat hiburan selepas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor melarang kegiatan meminta sedekah dan memberi sedekah di ibu negara.

Asri berkata, bagi menjaga imej negara Islam itu sendiri, ibu negara seharusnya aman dan selamat buat pengunjungnya.

"Kepada pihak yang ingin membersihkan bandaraya Kuala Lumpur daripada peminta dan pemberi sedekah atas alasan ingin elak Kuala Lumpur tercemar serta untuk menjaga nama baik ibu kota negara Islam ini, mohon saya mencadangkan atas hasrat baik pihak tuan agar pihak tuan membersihkan Kuala Lumpur daripada pusat hiburan dan segala aktiviti yang merosak dan meruntuhkan moral dan akhlak manusia," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook Dr Maza.com.

Beliau berkata, kerajaan juga seharusnya menunjukkan dakwaan berpegang kepada Islam dengan menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar yang melambangkan kemakmuran dan kesantunan.

"Jadikanlah ia kota yang selamat dan berkat. Makmurkan ia dengan kesantunan dan kemakmuran yang mendamaikan jiwa setiap pengunjung.

"Jadikanlah ia kota yang setiap orang masuk ke dalamnya merasa aman untuk dirinya, keluarganya dan temannya.

"Buktikanlah dakwaan ini negara yang berpegang kepada Islam dan ibu kotanya juga tentu melambangkan kemakmuran, kedamaian, keluhuran budi dan kesantunan moral selaras dengan kehendak Islam yang membangunkan manusia dan kemanusiaan," katanya.

Tengku Adnan sebelum ini dikritik hebat kerana melarang kegiatan meminta sedekah dan memberi sedekah di ibu kota berkenaan.

Beliau turut memberi amaran kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang berpusat di Kuala Lumpur diberi tempoh hingga Isnin depan untuk berpindah keluar dari pusat bandar sekiranya tidak mahu dikenakan tindakan saman DBKL.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, tindakan itu diambil sebagai langkah serius kerajaan membersihkan kegiatan golongan tidak berumah dan pengemis di ibu negara.

Beliau berkata, kewujudan NGO yang memberi makanan kepada golongan gelandangan menyebabkan imej Kuala Lumpur terjejas teruk terutama daripada aspek kebersihan.

"Mengenai golongan tidak berumah ini kita bukan tidak cuba carikan kerja untuk mereka. Bila kita beri mereka kerja mereka tidak mahu kerana adanya NGO yang memudahkan mereka mendapatkan makanan.

"Imej bandar raya terjejas teruk, bukan saja jalan kotor tetapi ada antara mereka penghidap HIV, penagih dadah," katanya.

Tengku Adnan berkata, meskipun tindakan tersebut kelihatan kejam namun ia terpaksa dilakukan untuk mendisplinkan masyarakat.

Katanya, NGO berkenaan juga perlu mencari lokasi lain luar dari pusat bandar sekiranya mahu memberikan makanan percuma.

Tengku Adnan berkata, DBKL juga menetapkan jarak 2km dari pusat bandar bagi NGO untuk memberikan makanan percuma.

"Kalau mereka hendak bagi makan jangan bagi makan dalam bandar paling kurang 2km dari pusat beli-belah Lot 10," katanya.

Sumber
SCARF Secrets
SCARF Secrets

Ads
Ads
ads