Joe Flizzow Kini Sibuk Bikin Lagu


Selepas lagu Apa Khabar menjadi juara pada Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-29 baru-baru ini, penyanyi hip hop Joe Flizzow banyak menghabiskan masa di dalam studio menghasilkan lagu.

Sehingga sekarang hampir tujuh lagu disiapkan dan ini semua berlaku selepas dia mendapat banyak panggilan daripada artis pelbagai genre muzik yang mahukan khidmatnya.

Malah, ada antara lagu itu turut dihasilkan untuk orang lain.

Mengakui rezekinya semakin melimpah ruah selepas kejayaan itu, Joe bersyukur kerana zaman kegemilangannya kembali semula seperti ketika dia bersama Too Phat.

Namun, itu bukan alasan untuk dia lupa diri sebaliknya usia yang makin meningkat lebih mematangkan Joe dalam melalui kehidupan sebagai anak seni.

“Alhamdulillah saya gembira dengan apa yang dilalui sekarang. Selepas kejayaan lagu Apa Khabar saya mendapat panggilan daripada ramai artis yang mahu saya menghasilkan lagu buat mereka.

“Ada yang datang daripada genre dangdut, balada, rock dan pelbagai lagi. Pengalaman pernah berduet dengan artis pelbagai genre tidak memberi masalah untuk saya bekerjasama dengan mereka.

“Tetapi, biarlah semua itu diatur dengan baik kerana sekarang fokus saya adalah mempromosikan lagu dan klip video terbaru,” katanya pada majlis previu muzik video berkenaan, baru-baru ini.

Klip video Baek menjalani penggambaran di New York, Amerika Syarikat berserta klip video Apa Khabar sekitar pertengahan tahun lalu.

Walaupun menggunakan latar belakang bandar raya New York, Joe masih menerapkan elemen Melayu melalui penampilan beberapa artis Malaysia di samping liriknya yang lebih menitik beratkan mengenai cara hidup dan negeri yang terdapat di Malaysia.

“Saya tidak mahu orang membandingkan lagu Baek ini dengan lagu Apa Khabar. Pada saya setiap lagu itu punyai kekuatannya tersendiri.

“Saya menghasilkan lagu bukanlah untuk menang anugerah semata-mata, malah terpilihnya lagu Apa Khabar sebagai juara bukanlah apa yang saya fikirkan ketika menghasilkannya, tetapi mungkin ia rezeki yang sudah tertulis milik lagu ini.

“Tidak saya nafikan, ada yang menghubungi saya untuk minta hasilkan lagu buat mereka dengan harapan untuk mendapat tempat di AJL.

“Sebagai seorang penggubah lagu saya tidak berani mengambil risiko seperti itu, tetapi berusaha menghasilkan yang terbaik terhadap setiap lagu yang saya buat,” katanya.

Dalam pada itu, Joe turut menyimpan hasrat dapat mengadakan konsert jelajah di samping meraikan 10 tahun penubuhan syarikatnya, Kartel Records.

“Memang ada perancangan untuk mengadakan konsert jelajah tahun ini bersama-sama artis di bawah naungan Kartel Records. Namun, segala-galanya masih dalam perbincangan dan diharap semuanya berjalan dengan lancar,” katanya lagi.
Read more ...

Ajal Tidak Kenal Siapa, Lori Gilis Tuannya


Johor Bahru: “Setiap hari arwah akan singgah ke warung ini untuk bungkus juadah makanan tengah hari, namun hari ini (semalam) arwah datang lebih awal untuk bersarapan ketika warung baru dibuka,” kata saksi kejadian pemandu lori yang maut digilis kenderaan dipandunya dalam kejadian di depan warung di FELDA Inas, Jalan Sengkang-FELDA Inas dekat Kulaijaya, semalam.

Menurut wanita berusia 36 tahun yang juga pekerja warung berkenaan, pemandu lori, Rezal Osman, 37, yang maut ketika cuba memberhentikan lorinya sebelum digilis tayar belakang kenderaan berat itu adalah pelanggan tetap di warung berkenaan.

“Semalam (kelmarin), arwah datang seperti biasa ke warung untuk membungkus juadah tengah hari dan itu rutin hariannya.

“Berbeza hari ini (semalam), arwah tiba lebih awal kira-kira jam 7.15 pagi ketika warung belum dibuka sepenuhnya, namun kuih-muih tersedia di hadapan dan arwah mahu membelinya

“Ketika dia membungkus kuih, tiba-tiba semua orang di warung terkejut dan panik apabila melihat lori dipandu arwah yang diletakkan di bahu jalan bergerak dan melanggar bumbung warung,” katanya.
Read more ...

Pemimpin Pembangkang Rusia Ditembak Mati


MOSCOW: Pemimpin pembangkang Rusia, Boris Nemtsov ditembak mati berhampiran Kremlin, sehari sebelum bantahan terhadap kerajaan dijadualkan berlangsung.

Kementerian Dalam Negeri Rusia memaklumkan, Nemtsov terkena empat tembakan di belakangnya, ketika beliau merentasi Jambatan Moskvoretsky, di tengah Moscow, sejurus selepas tengah malam tadi.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Yelena Alexeyeva berkata, ketika kejadian, Nemtsov berjalan bersama seorang kenalan wanitanya, sebelum seseorang daripada sebuah kenderaan melepaskan tembakan ke arahnya.

Wanita itu tidak cedera dan telah disoal siasat polis.

Presiden Rusia, Vladimir Putin segera menyampaikan ucapan takziah kepada keluarganya dan melabelkan pembunuhan itu sebagai satu provokasi.

Putin telah mengarahkan ketua-ketua tertinggi penguatkuasaan supaya memantau sendiri siasatan ke atas pembunuhan Nemtsov.

Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama pula menggesa Rusia menjalankan siasatan dengan “segera, telus dan adil” untuk membawa pembunuh Nemtsov ke muka pengadilan.

Obama turut menyifatkan Nemtsov sebagai “pejuang hak rakyat yang tidak pernah kenal erti penat lelah.”

Dalam satu temubual dengan akhbar Sobesednik pada awal bulan ini, Nemtsov berkata, ibunya yang berusia 86 tahun khuatir Putin akan membunuhnya, disebabkan aktiviti pembangkangnya.

Ditanya jika beliau bimbang dengan keselamatan dirinya terancam, jawabnya: “Jika saya takut, saya tidak akan memimpin parti pembangkang.”

Bercakap kepada radio Ekho Moskvy beberapa jam sebelum kematiannya, beliau mengkritik Putin kerana mengheret Rusia ke kancah krisis, dengan “dasar perang agresif, gila dan maut terhadap Ukraine.”

“Negara ini memerlukan pembaharuan politik. Apabila kuasa ditumpukan di tangan seorang pemimpin, orang itu akan memimpin selamanya dan ini akan menyebabkan malapetaka mutlak,” katanya.

Peguam Nemtsov, Vadim Prokhorov mendedahkan, ahli politik itu telah membuat laporan polis berhubung beberapa ancaman yang diterimanya melalui rangkaian media sosial, namun pihak berkuasa tidak mengambil sebarang tindakan untuk melindungi Nemtsov.



Nemtsov pernah dilantik sebagai gabenor wilayah, sebelum menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 1990-an. - Foto AFPNemtsov pernah dilantik sebagai gabenor wilayah, sebelum menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 1990-an. – Foto AFP

Aktivis pembangkang, Ilya Yashin yang kali terakhir bercakap dengan Nemtsov dua hari sebelum kematiannya berkata, beliau pasti pembunuhan Nemtsov bermotifkan politik.

Penganjur bantahan pada Ahad memutuskan untuk mengadakan demonstrasi di Moscow untuk memperingati Nemtsov.

Nemtsov pernah dilantik sebagai gabenor wilayah, sebelum menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 1990-an.

Beliau juga pernah dianggap pengganti Presiden pertama Rusia yang dipilih rakyat, Boris Yeltsin.

Selepas Putin dilantik sebagai Presiden pada 2000, Nemtsov adalah seorang daripada pemimpin yang kuat mengkritik pentadbirannya.

Nemtsov pernah mengecam ketidakcekapan kerajaan Rusia, gejala rasuah semakin menjadi-jadi dan dasar Ukraine yang dilaksanakan Kremlin yang dikatakan telah menyebabkan hubungan Moscow dan negara barat menjadi tegang, sehingga ke tahap paling teruk sejak Perang Dingin.

Sebelum ini, Nemtsov, 55 tahun, giat menyediakan laporan yang mengandungi bukti-bukti kukuh yang dipercayai boleh mengaitkan pembabitan Rusia secara langsung dalam pemberontakan puak pemisah di timur Ukraine, sejak April tahun lalu.

Ukraine dan negara barat menuduh Rusia menyokong pemberontak dengan membekalkan senjata canggih.

Moscow bagaimanapun telah menafikan dakwaan itu.
Read more ...

Serpihan Terakhir Badan Pesawat QZ8501 Ditemui


JAKARTA: Serpihan bangkai utama dan terakhir badan pesawat AirAsia Indonesia penerbangan QZ8501 yang terhempas di Laut Jawa, pada Disember lalu, ditemui semalam.

Ketua Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS), Bambang Soelistyo berkata, serpihan bangkai badan pesawat yang remuk itu, dikeluarkan dari dasar laut pada Jumaat, sebelum dinaikkan ke sebuah kapal.

“Kami telah menemui (serpihan itu) bahagian terakhir dan terbesar badan pesawat AirAsia yang bersambung dengan sayapnya, pada Jumaat,” katanya kepada AFP dalam sidang media pada Sabtu.

Namun, tiada mayat mangsa ditemui dalam operasi itu, semalam.

Jelasnya, pihak berkuasa akan memutuskan tarikh terakhir untuk menamatkan operasi itu, selepas mengadakan pertemuan dengan waris mangsa yang dijadualkan berlangsung pada minggu depan.
[Hashtag and Win! #myTwinTowers]

Menurut penyelaras BASARNAS, S.B. Supriyadi, kira-kira 103 mayat telah ditemui sehingga kini, sejak pesawat malang yang membawa 162 penumpang dan anak kapal itu, terhempas ketika terbang dalam cuaca buruk, dari Surabaya ke Singapura, pada 28 Disember lalu.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Ignasius Jonan memaklumkan, Indonesia akan mengeluarkan laporan terakhir siasatan tragedi QZ8501, pada Ogos nanti.
Read more ...

RON95, RON97 dan Diesel Naik 25 Sen Bermula Malam Ini


KUALA LUMPUR: Harga bahan api bagi petrol RON95, RON97 dan diesel masing-masing naik sebanyak 25 sen seliter, berkuatkuasa jam 12.01 pagi pada 1 Mac, menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Hasan Malek dalam kenyataannya, hari ini.

Berikutan kenaikan sebanyak 25 sen tersebut, harga baru bagi bahan api petrol RON95 akan dijual pada RM1.95 seliter (RM1.70), RON97 berharga RM2.25 seliter (RM2.00) dan diesel daripada RM1.70 kepada RM1.95 seliter.

Kerajaan pada 21 November 2014 telah memutuskan bahawa penetapan harga runcit RON95 dan diesel mengikut kaedah pengapungan terkawal bermula 1 Disember 2014.

Sementara itu, harga petrol RON95 diturunkan sebanyak 21 sen seliter, manakala RON97 diturunkan sebanyak 11 sen seliter dan diesel turun 23 sen, mulai 1 Februari 2015 pada 31 Januari lalu.

Penurunan tersebut menjadikan harga minyak seliter ketika itu RM1.70 untuk petrol RON95, RM2 bagi RON97 dan RM1.70 bagi diesel.
Read more ...

Penyakit Gila Seks Homo Dalam Masyarakat


KUALA LUMPUR: Seorang daripada dua suspek telah berjaya diberkas Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam berhubung dakwaan melakukan gangguan seksual terhadap seorang remaja berumur 17 tahun.

Menurut sumber terdekat yang enggan dikenali, mangsa telah membuat laporan polis pada 6 Januari lalu dan PDRM sehingga kini masih lagi memburu seorang lagi suspek bagi membantu siasatan.

Mengulas lanjut perkara itu, sumber mencerita kejadian sebenar apa yang berlaku ketika dia dan mangsa pergi ke sebuah pusat kecergasan terkenal Fitness First Menara Summit di Subang Jaya pada Selasa lalu.

“Saya pergi ke gimnasium dengan dia untuk melakukan senaman seperti biasa. Selepas selesai saya nampak mangsa keluar dari bilik persalinan dalam keadaan terkejut dengan mata merah.

“Dia beritahu dua lelaki dua lelaki telah datang dan salah seorang telah melakukan seks oral terhadapnya. Selepas dia menjelaskan kejadian itu, saya marah dan telah pergi berjumpa dengan salah seorang lelaki itu.

“Saya pegang dan tidak bagi dia keluar. Lelaki itu berbohong kata dia tidak berada di sauna dan terus keluar,” katanya kepada The Rakyat Post.

Kata sumber, selepas mangsa mengesahkan suspek itu, dia dan tiga rakan yang lain telah mencari suspek dan menjumpai suspek dibuah kedai tidak jauh dari pusat kecergasan itu.

Suspek tetap menafikan kejadian itu tetapi mengaku ada berada di sauna seorang diri.

Kecewa dengan jawapan suspek, kata sumber dia dan rakan-rakan kembali ke pusat kecergasan sementara menunggu ibunya datang untuk mengambilnya pulang.

“Ibu yang terkejut dengan kejadian itu terus memarahi pihak pengurusan. Pengurusan terkejut dan mereka kata mereka akan melakukan apa yang mereka boleh.

“Mereka tahu kami akan membuat laporan dan mereka tidak halang. Polis telah menangkap salah seorang daripada mereka,” katanya.

Kes ini menjadi viral apabila seorang individu bernama Gan Wee Yet yang ditemui ahli keluarga terdekat mangsa memuatkan naik mesej perbualan insiden itu di laman sosial Facebooknya.

Gan yang merupakan ahli pusat kecergasan di Subang Jaya dalam statusnya berkata akan mengumpulkan ‘gladiator’nya dan berjumpa di Fitness First bagi mengetahui apa yang sedang berlaku.

Bagaimanapun, Gan dalam status terbaru yang dimuat naik menyatakan beliau telah diminta ayah kepada mangsa untuk tidak masuk campur dalam perkara ini atas nasihat polis.

“Satu jam yang lalu, saya menerima panggilan daripada pegawai penyiasat dengan baik  memberitahu saya bahawa polis akan menyiasat kes ini dengan teliti dan menasihatkan saya supaya tidak mengganggu siasatan beliau.

“Saya juga telah berjumpa dengan keluarga mangsa tadi dan kita bersetuju bahawa kita harus membiarkan polis menjalankan siasatan mereka,” katanya.

Gan juga turut membatalkan perjumpaan kumpulannya seperti mana yang diminta oleh  keluarga mangsa dan pihak polis.

Gan ketika dihubungi The Rakyat Post menyatakan kedua-dua suspek telah ditahan di lokasi yang berasingan.

Sementara itu, Fitness First Malaysia dalam satu kenyataan hari ini berkata pihaknya memandang serius perkara ini dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam membantu siasatan.

“Fitness First Malaysia memberi jaminan pihak yang terlibat dan keluarga bahawa mereka akan bertindak mengikut undang-undang dan peraturan mereka sehingga siasatan lengkap dan kesimpulan rasmi dicapai.

“Fitness First Malaysia menggesa orang ramai untuk mendapatkan maklumat yang tepat dari sumber yang sah,” katanya.

Semalam, HarianMetro juga melaporkan kes seorang lelaki tua mencabul kemaluan seorang lelaki muda.



Melaka: Seorang pembantu pejabat dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan mencabul kehormatan seorang lelaki dalam tandas awam, tahun lalu.

Tertuduh Deraman Abu Chek, 58, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Norina Maludin.

Deraman didakwa menggunakan jenayah kekerasan terhadap Mohd Ainul Affendy Bidin, 23, dengan cara meramas kemaluan mangsa dengan niat mahu mencabul kehormatannya dalam tandas lelaki, aras bawah bangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Melaka, di sini, kira-kira jam 7.30 malam, 19 Mac 2014.

Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Muhamad Juhari Haron menawarkan jaminan RM5,000 ke atas tertuduh.

Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBK) Ishak Kari yang mewakili tertuduh merayu jaminan dikurangkan.
Read more ...

Muka Wanita Ini Jelita Namun Berotot Sasa


RUSIA: Dikurniakan wajah yang cantik dengan lirikan mata yang menawan, wanita ini nyata berbeza apabila didekati oleh lelaki. Dengan rupa seperti anak patung ‘Barbie’, Julia Vins, 18, memiliki otot yang sasa persis seorang ahli bina badan profesional.

Lari daripada kebiasaan, remaja ini berjaya merealisasikan cita-cita ‘anehnya’ (bagi seorang remaja wanita), untuk berkecimpung dalam dunia angkat berat dan menjadi seorang ahli bina badan, lapor portal Dailymail.com.

Meskipun berwajah lembut dengan sepasang mata yang menarik, Julia telah pun berjaya memecahkan tiga rekod dunia dalam acara angkat berat.

Dilahirkan di bandar Engels, remaja ini ternyata gembira apabila dikenali sebagai ‘Barbie’ yang berotot.

“Orang ramai mengenali saya sebagai ‘Barbie’ yang berotot. Saya suka perbandingan itu. Itu sesuatu yang baik,” katanya yang dipetik daripada Dailymail.com.

Julia telah menemui jurulatih yang berjaya mencungkil bakat dan potensi dirinya ketika berusia 15 tahun, sebelum mula berjinak-jinak dan menghabiskan masa di gimnasium selama tiga hingga lima jam, empat kali seminggu.

Semenjak itu, kehidupannya mula bertukar dengan pada bulan Ogos 2014, Julia telah menyertai Kejohanan Angkat Berat Dunia di Moscow dan memenangi pertandingan tersebut. Dia turut telah memecahkan rekod dunia, dengan angkatan bebanan yang berjumlah 440kg.

Meskipun demikian, dia masih seperti remaja wanita lain dengan gemar bersolek dan mendandan, tetapi mengakui agak sukar untuk mencari pakaian yang sesuai dengan bentuk tubuhnya. Remaja ini juga kini telah memiliki lebih 23,000 orang pengikut di laman sosial Instagram miliknya.

Julia turut tidak menolak wujudnya pelbagai persepsi dan diskriminasi daripada kaum lelaki yang memandang enteng terhadap kebolehannya.

“Secara jujurnya, saya dapati lelaki yang memandang negatif terhadap diri saya sebenarnya cemburu dengan apa yang saya ada,” katanya.
Read more ...

Datuk Rosyam Nor Terlibat Kemalangan


KUALA LUMPUR: Pelakon dan penerbit, Datuk Rosyam Nor terlibat dalam kemalangan yang berlaku di Jalan Universiti berdekatan dengan Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kira-kira jam 10 malam semalam.

Menurut Rosyam, kereta jenis Peugeot miliknya terbabas dan melanggar pembahagi jalan selepas hilang kawalan akibat hujan lebat.

Walaupun keretanya mengalami kerosakan teruk akibat rempuhan tersebut namun dia terselamat daripada sebarang kecederaan.

Portal hiburan, Rotikaya melaporkan Rosyam sebagai berkata, kemalangan itu tidak melibatkan kenderaan lain dan cuma kemalangan kecil.

“Kereta saya terbabas dan melanggar pembahagi jalan selepas hilang kawalan akibat hujan lebat. Alhamdulillah tiada apa-apa yang serius berlaku dan ia tidak melibatkan kenderaan lain.

“Akibat hentaman yang kuat, kereta tidak boleh bergerak kerana tayar pecah selain beberapa bahagian lain juga mengalami kerosakan.

“Saya juga telah membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan,”ujarnya.
Read more ...

TMJ Letak Jawatan Penasihat FAM


PETALING JAYA: Putera Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim telah letak jawatan sebagai penasihat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), lapor The Star Online.

Tunku Ismail yang juga Presiden Johor FA berkata beliau mempunyai impian di mana FAM diterajui oleh sekumpulan orang yang berdedikasi, profesional dan berpengetahuan, dan tidak utamakan keuntungan peribadi atau sebab-sebab politik.

“Ia adalah satu impian bahawa satu hari semua pasukan bola sepak akan diuruskan oleh golongan profesional. Ia adalah satu impian bahawa satu hari nanti peminat bola sepak tempatan akan menjadi lebih bertamadun dalam menyokong pasukan masing-masing dan tidak akan berperang dengan satu sama lain.

“Ia adalah satu impian yang setiap pasukan akan dilayan dengan adil. Ia adalah satu impian di mana akan ada hanya permainan cantik bola sepak dan tiada politik, “katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Johor Southern Tigers Facebook pada Khamis.

Tunku Ismail berkata beliau mahu bekerjasama dengan sebuah organisasi yang telus, bersih, jujur ​​dan berdedikasi dalam meningkatkan kualiti bola sepak tempatan.

“Saya tidak mahu menjadi sebahagian daripada organisasi yang tidak adil. Oleh itu saya telah membuat keputusan saya untuk mengundurkan diri daripada peranan saya sebagai penasihat FAM, “katanya.

Dalam satu kenyataan sebelum ini, Ismail telah menggesa FAM untuk berlaku adil kepada semua persatuan bola sepak, kelab dan pasukan dalam semua isu, termasuk penjadualan semula perlawanan.

Beliau menyatakan bahawa permintaan JDT untuk membawa ke hadapan perlawanan dari hari Sabtu ke Jumaat ditolak manakala permintaan pasukan lain lain untuk menangguhkan perlawanan telah diluluskan.

“Apa yang membuatkan persatuan bola sepak berbeza antara satu sama lain untuk isu ini berlaku? FAM harus berlaku adil dan menjadi lebih profesional demi bola sepak Malaysia. Semua pasukan bola sepak perlu dilayan sama adil, “katanya.
Read more ...

Puteri Balqis Calon Termuda ABPH2014


Pelakon cilik Puteri Balqis mencatat sejarah dalam penganjuran Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2014 edisi ke-28 kali ini kerana menjadi calon termuda.

Kanak-kanak berusia lapan tahun ini disenaraikan dalam kategori Artis Baru Wanita Popular bersaing dengan Aisyah Aziz, Amyra Rosli, Indah Ruhaila dan Ayda Jebat.

Balqis sebelum ini turut mencipta sejarah apabila menang Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2014 dan Asian Television Award 2014.

“Saya berterima kasih kepada peminat yang sudi mengundi diri ini. Saya tidak mempunyai kelab peminat apatah lagi melobi di laman sosial supaya peminat mengundi saya di ABPBH 2014,” katanya.


Dalam pada itu, pelawak dan pelakon popular Zizan Razak tercalon dalam tiga kategori ABPBH2014 selepas pe­ngumuman calon Top 5 bagi 15 kategori dipertandingkan, kelmarin.

Zizan dicalonkan dalam kategori Pelakon Filem Lelaki Popular, Pengacara TV Lelaki Popular dan Artis Komedi Lelaki Popular.

Selain calon yang sinonim dengan ABPBH seperti Aaron Aziz, Shaheizy Sam, Fara Fauzana, Datuk Aznil Nawawi, Didie Alias, Jihan Muse, Hafiz dan Stacy, muka baru seperti pelakon Ayda Jebat, Amyra Rosli, Puteri Balqis dan Zul Ariffin juga menepati ramalan apabila turut dicalonkan.

Pengumuman dilakukan Pengarang Hiburan BH merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABPBH 2014 Shamshul Azree Samshir.

Shamsul Azree berkata, artis yang tercalon untuk Top 5 digalakkan menyertai ‘road tour’ supaya mereka dapat mendekati peminat.

“Mereka boleh gunakan peluang ‘road tour’ itu dengan sebaiknya untuk lebih rapat dengan peminat bagi meraih undi,” katanya.

Pencarian Bintang Popular untuk setiap 15 kategori yang dipertandingkan dan Bintang Paling Popular bermula hari ini hingga 25 Mac depan.

Borang undian pusingan kedua akan disiarkan di akhbar BH dan BH Ahad untuk pembaca memilih artis kesukaan mereka bagi setiap kategori.

ABPBH 2014 yang sudah memasuki edisi ke-28 akan bersiaran secara langsung dari Arena Of Stars, Genting Highlands dan disiarkan secara langsung di TV3 dan radio Hot FM pada 5 April depan jam 9 malam.
Read more ...

Mahkamah Bebaskan Alvin Tan dan Vivian Lee Daripada Tuduhan Cetuskan Permusuhan Agama


PUTRAJAYA: Penulis blog lucah kontroversi, Alvin Tan dan bekas teman wanitanya Vivian Lee hari ini bebas daripada tuduhan menimbulkan permusuhan antara penganut pelbagai agama akibat perbuatan mereka memuat naik gambar yang menghina umat Islam yang sedang menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan pada akaun Facebook miliknya.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan pada Rabu, sebulat suara memutuskan menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan mengetepikan tuduhan terhadap Alvin dan bekas teman wanitanya itu.

Ketika mengumumkan keputusan, hakim Tan Sri Abdull Hamid Embong yang mempengerusikan panel itu memberikan alasan Mahkamah Persekutuan tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes berkenaan.

Panel hakim berkenaan membenarkan bantahan awal peguam bela dua defenden itu, Chong Joo Tian yang berhujah bahawa Mahkamah Persekutuan tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar rayuan pihak pendakwaan.

Chong memberitahu mahkamah  oleh kerana perkara itu bermula di Mahkamah Sesyen, maka ia patut berakhir di Mahkamah Rayuan.

Alvin dan Vivian memfailkan permohonan kepada Mahkamah Tinggi supaya menggugurkan tuduhan menyebabkan timbul permusuhan agama itu mengikut Seksyen 298A (1)(a) Kanun Keseksaan kerana mereka mendakwa seksyen itu tidak terpakai kepada individu bukan Islam dan oleh itu, tidak boleh dikuatkuasakan terhadap mereka.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Dang Wangi pada 11 dan 12 Julai 2013.

Pasangan itu didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi, tetapi berjaya dalam rayuan untuk mengetepikan tuduhan itu di Mahkamah Rayuan pada 21 April tahun lepas apabila mahkamah berkenaan memutuskan Seksyen 298A (1) (a) tidak boleh dikuatkuasakan terhadap Alvin dan Vivian kerana tidak terpakai bagi bukan Islam.

Pihak pendakwaan kemudian memfailkan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.

Alvin atau nama sebenarnya Tan Jye Yee, 27, dan Vivian yang nama penuhnya Lee May Ling, 26, bagaimanapun sedang berdepan dengan dua lagi tuduhan di Mahkamah Sesyen.

Kedua-dua mereka menghadapi tuduhan mengikut Akta Hasutan 1948 kerana menyiarkan gambar mereka sedang menjamah hidangan babi dengan keterangan ‘Selamat Berbuka Puasa (with Bak Kut Teh…fragrant, delicious and appetising)’ di laman Facebook mereka.

Satu lagi tuduhan ialah menyiarkan gambar pornografi dalam laman Facebook masing-masing.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Kompleks Mutiara, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur antara 11 dan 12 Julai 2013 dan 6 dan 7 Julai 2013.

Kedua-dua tuduhan berkenaan dijadualkan dibawa untuk pengurusan kes di Mahkamah Sesyen pada 6 Mac ini.

Alvin bagaimanapun dilaporkan sudah melarikan diri keluar negara dan dipercayai berada di Amerika Syarikat, dengan meninggalkan Vivian keseorangan di negara ini.
Read more ...

Penjawat Awam Curi Tulang Ditegur


KUALA LUMPURL: Gara-gara curi tulang untuk keluar bersarapan dan membeli belah ketika waktu bekerja, beberapa penjawat awam yang bertugas di bangunan Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah (SSAAS) mendapat teguran serius daripada Unit Integriti Setiausaha Kerajaan Selangor (SUK).

Dalam satu lawatan mengejut yang dilakukan oleh pejabat SUK yang diketuai Datuk Mohammed Khusrin Munawi pada Jumaat lalu, beberapa kakitangan awam yang bertugas di bangunan berkenaan tersipu-sipu selepas terserempak dengan unit tersebut.

Berdasarkan gambar yang dimuat naik di laman sosial, pemantauan mengejut pada Jumaat lepas itu berjaya ‘menangkap’ empat orang pegawai audit 5S yang sedang bersarapan di Kafe Dewan Jubli Perak.

Beberapa penjawat awam yang lain juga turut dilihat membeli belah di gerai-gerai kecil di bangunan berkenaan.

Mohamed Khusrin dalam status Facebooknya menulis, Unit Integriti SUK Selangor akan memantau aktiviti ini dan tindakan tatatertib boleh diambil.

Beliau turut berharapkan supaya semua penjawat awam dapat mengubah budaya curi tulang itu demi nama baik perkhidmatan awam.
Read more ...

Penyeludup Dadah Kumpulan Bali 9 Bakal Ditembak Mati


INDONESIA: Penyeludup dadah Andrew Chan dan Myuran Sukumaran akan berpindah ke penjara Pulau Nusakembangan minggu ini untuk pelaksanaan hukuman mati mereka, disahkan oleh Peguam Negara Indonesia.

Kedua-dua warga Australia dari kumpulan Bali 9 akan menghadapi Skuad tembakan selepas rayuan berulang untuk pengampunan kepada Presiden Indonesia Joko Widodo ditolak.

Dalam apa yang akan menjadi rekod tahunan bagi hukuman mati di Indonesia adalah,  ini pusingan kedua yang merangkumi 11 tahanan termasuk tujuh warga Australia, Filipina, Perancis, Brazil, Nigeria dan Ghana yang akan ditembak atas kesalahan dadah dan pembunuhan.

Tarikh pelaksanaan hukuman mati belum ditetapkan.

Fairfax Media melaporkan pasangan Australia akan menjadi banduan pertama yang akan berpindah ke penjara Batu, melalui satu penerbangan sewa khas di bawah kawalan tentera.

Difahamkan Perdana Menteri Australia, Tony Abbott  membuat satu lagi rayuan saat akhir kepada presiden Widodo.

“Seperti berjuta-juta penduduk Australia, saya rasa sakit apabila berfikir tentang apa yang mungkin berlaku kepada anak-anak muda ini dan, seperti setiap ibu bapa, saya mahu mencuba untuk memastikan tiada apa-apa yang dahsyat berlaku kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, salah seorang hakim yang menjatuhkan hukuman mati kepada pasangan itu, Wayan Yasa Abadi, menafikan dakwaan bahawa mereka meminta rasuah untuk menyampaikan hukuman yang lebih ringan atau terdapat tekanan politik, menurut Fairfax.

“Saya boleh memberi jaminan tidak ada sesuatu seperti itu,” katanya. “Ia adalah semata-mata keputusan kami.”
Read more ...

MAS Uji Sistem Teknologi dan Komunikasi (SITA)


KUALA LUMPUR: Syarikat Penerbangan Malaysia Airlines (MAS) sedang menguji sistem teknologi dan komunikasi (SITA) yang merupakan sebuah sistem yang mengesan kedudukan kapal terbang di ruang udara dalam dan luar negara.

Singapore Airline melaporkan MAS sedang menguji sistem itu yang bukan sahaja dapat menghantar laporan berhubung kedudukan kapal terbang tetapi juga kawasan pendaratan dengan data berguna.

Sistem ini dilihat berkesan susulan kejadian kehilangan pesawat MH370 dan nahas Air France 447 yang membuktikan sistem itu perlu ada pada syarikat penerbangan setiap masa.

Melalui sistem ini, syarikat penerbangan tidak bergantung kepada sistem Air Navigation Service Providers (ANSPs) yang meninjau pesawat semasa di dalam ruang udara sendiri tetapi tidak dapat dipastikan jika di ruang udara luar.

Sebelum ini, Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) pernah mencadangkan pesawat yang melaporkan kedudukan mereka pada 15 minit semasa operasi biasa dan setiap 15 minit pada keadaan tidak normal mungkin membawa kepada fasa kecemasan.

MH370 dan AF447 mempunyai Future Air Navigation System (FANS) avionik yang mampu beroperasi secara automatik bergantung kepada kontrak pengawasan (ADS-C) yang melaporkan penerbangan melalui data satelit atau VHF untuk kawalan trafik udara.

Kekurangan sistem penerbangan memantau ADS-C masih tidak jelas sama ada mereka sudah menghantar data walaupun Air France sudah ada sistem ini sejak mula ditubuhkan lagi.

Naib Presiden SITA Perkhidmatan AIRCOM, Philip Clinch berkata, “Melainkan jika syarikat ada sistem untuk memproses kedudukan dan melaporkan bahawa data, ianya tidak menjadi pengunaan yang banyak”.

Syarikat penerbangan MAS perlu ada sistem untuk mengesan pendaratan kapal terbang yang dilakukan oleh ANSPs tempatan-kecuali penerbangan dalam negeri sahaja.

Philip berkata SITA telah digunakan oleh 80 syarikat penerbangan dan ianya adalah penyelesaian tambahan kepada sistem mesej AIRCOM SERVER ACARS.

Menurutnya, syarikat penerbangan tidak perlu membuat apa-apa ubah pengubahsuaian kepada perisian pesawat mereka kerana AIRCOM Penerbangan Tracker dan hanya menggunakan keupayaan dalam avionik FANS untuk menerima permintaan kedudukan dari sistem penerbangan.

Katanya, SITA juga menjangkakan beberapa syarikat penerbangan yang tidak menggunakan Server AIRCOM sebagai sistem pengendalian mesej ACARS mereka akan menggunakan versi AIRCOM Penerbangan Tracker yang SITA menjadi tuan rumah pada Pengangkutan Udara Industri di Awan, yang dapat mengelakkan syarikat penerbangan itu untuk membeli yang sistem sendiri.

Ujarnya, selain menggunakan teknologi yang sedia ada untuk mengesan, cadangan ICAO ini akan membolehkan syarikat penerbangan di seluruh dunia perlu mempunyai pengirim penerbangan mengikuti pesawat, seperti syarikat penerbangan AS dikehendaki untuk berbuat demikian oleh peraturan FAA.

“Banyak negara membiarkan juruterbang mereka untuk menangani ATC sepanjang laluan dan tidak memerlukan syarikat penerbangan itu mempunyai pengirim di pejabat pusat di seluruh dunia,” katanya yang menganggap syarikat penerbangan seluruh dunia memerlukan sistem itu untuk syarikat mereka.

Ketika ditanya tarikh sasaran untuk melaksanakan cadangan standard pengesanan baru ICAO pada November 2016 boleh dicapai bagi semua syarikat penerbangan, Philip berkata, “Saya tidak mempunyai maklumat terperinci mengenai cadangan itu. Sebagai contoh, saya menyaksikan kenyataan IATA berkata keperluan hanya terpakai di kawasan pedalaman yang tidak dilindungi oleh pengawasan oleh perkhidmatan trafik udara tetapi saya tidak pernah melihat sebarang dokumen ICAO yang khusus mengatakannya.

Dari apa yang saya lihat keperluan ICAO yang dicadangkan, saya menjangkakan bahawa syarikat penerbangan boleh mencapai pematuhan di seluruh dunia untuk pesawat dengan avionik FANS dan komunikasi satelit.”

Tambahnya lagi, syarikat penerbangan akan menghadapi lebih daripada satu cabaran mengekalkan penglihatan pesawat lorong tunggal mereka yang tidak mempunyai avionik komunikasi satelit tetapi terbang di seluruh kawasan yang mempunyai VHF sedikit atau tidak ada atau infrastruktur tanah ATC seperti Caribbean, Mediterranean, Teluk Bengal, Sahara padang pasir, Siberia, pergunungan Andes dan lain-lain Sesetengah data kedudukan boleh didapati di kawasan-kawasan dari pembekal seperti SITA rakan Flightaware, yang menggunakan penerima ADS-B tetapi di kawasan pedalaman mendapatkan data kedudukan dari pesawat tanpa sistem komunikasi satelit mungkin perlu menunggu untuk sistem Aireon yang jika ia berfungsi seperti yang dirancang, akan menukar keseluruhan rangka kerja bagi soalan penjejakan.
Read more ...

Lelaki Berstatus Suami Orang Dicekup Bersama Kekasih


JOHOR BAHRU - Sepasang kekasih dicekup dalam keadaan tidak berpakaian oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Jaij) sempena Ops Mawar Merah, di sini kelmarin.

Dalam serbuan petang Sabtu itu, lelaki berstatus suami orang dari Larkin dicekup dengan kekasihnya dari Kota Tinggi dalam keadaan hanya berlapik kain cadar sebaik pintu bilik mereka diketuk penguat kuasa.

Difahamkan lelaki berusia 28 tahun bekerja sebagai buruh itu telah menjalin hubungan cinta dengan kekasihnya berusia 22 tahun sejak setahun yang lalu.

Dalam serbuan lain, di Taman Bukit Mewah, di sini pasangan berusia 22 tahun  dan 23 tahun dari Terengganu turut ditahan.

Hasil soal siasat mendapati lelaki berkenaan bekerja di Singapura manakala wanita berkenaan baru tiba dari Terengganu jam 8 malam, Khamis lalu.

Mereka mendakwa telah bertunang dan akan melangsungkan perkahwinan Mac ini memaklumkan bertemu bagi membincangkan masalah keluarga yang tidak merestui hubungan tersebut.

Ketika serbuan lelaki yang lengkap berpakaian sebaliknya wanita berkenaan mengenakan baju kelawar tanpa pakaian dalam.

Pasangan tersebut antara 72 individu berusia lingkungan 17 hingga 50 tahun, termasuk empat warga asing yang dicekup di sekitar hotel bajet di bandaraya ini.

Menurut Penolong Penguatkuasa Jaij,  Hafiz Abd Rahman berkata,  operasi tersebut digerakkan sempena hari kekasih yang dirai setiap 14 Februari.

“Semua yang ditahan itu diambil tindakan mengikut Seksyen 27(1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 dan Seksyen 29 enakmen sama kerana kesalahan berkhalwat serta berkelakuan tidak sopan di khalayak ramai.

“Kita turut menyiasat empat warga asing yang dijumpai bersama pasangan yang beragama Islam dan akan menyerahkan mereka kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Read more ...

SPM Diumum 3 Mac 2015


Putrajaya: Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014 akan diumumkan pada 3 Mac ini, kata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

KPM dalam kenyataan hari ini berkata, calon-calon boleh mendapatkan keputusan peperiksaan SPM mereka dari sekolah masing-masing pada 10 pagi hari yang sama.

Calon persendirian akan dimaklumkan melalui pos atau mereka boleh menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri tempat mereka mendaftar dahulu, kata kenyataan itu.

KPM juga menyediakan perkhidmatan semakan keputusan peperiksaan SPM melalui mySMS 15888 dengan menaip SPM jarak taip nombor kad pengenalan jarak taip angka giliran dan hantar ke 15888.

Perkhidmatan tersebut akan diaktifkan bermula 10 pagi, 3 Mac dan ditamatkan pada 11.59 malam, 9 Mac.

Menurut kenyataan itu, majlis pengumuman analisis keputusan SPM 2014 akan diadakan pada hari sama, pada 9 pagi di Blok E8, Kompleks Kerajaan Parcel E di sini.

Seramai 455,839 calon mendaftar untuk menduduki SPM 2014 di 3,655 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Daripada jumlah itu 400,351 adalah calon sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan; 8,241 calon sekolah di bawah agensi kerajaan selain KPM (contoh: Maktab Rendah Sains MARA); 7,957 calon sekolah menengah agama negeri; 12,066 calon sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM; 25,701 merupakan calon persendirian manakala baki 1,523 calon Sekolah Menengah Agama Rakyat. - Bernama
Read more ...

Bekas Penyanyi Rock "Cinta Untuk Nabila" Kini Pendakwah Bebas


KUALA LUMPUR: Sebuah video yang menunjukkan bekas vokalis kumpulan Melissa, Radzi Abd Hamid yang kini menjadi seorang pendakwah bebas tersebar di laman-laman sosial.

Penampilan Ustaz Razi itu yang menyampaikan dakwahnya menerusi lagu Cinta Untuk Nabila yang diubah liriknya menjadi Cinta Untuk Nabilah telah dikongsikan oleh pengguna Facebook lebih 3,796 kali.

Rata-rata pengguna media sosial menyatakan rasa teruja dengan persembahan Razi yang masih mantap dengan suaranya meskipun beliau kini bergelar sebagai seorang agamawan.

Video tersebut yang berdurasi 3 minit 35 saat dirakam dalam satu majlis ketika beliau menyampaikan ceramah.

Cinta Untuk Nabila pernah menaikkan nama kumpulan Melissa di persada muzik tanah air pada awal era 1990-an malah hingga kini, lagu ciptaan dan lirik oleh Rosli Selasih itu masih menjadi pilihan pendengar di corong radio.

Selepas lebih 24 tahun, kumpulan Melissa kini sudah berkubur, yang tinggal hanyalah Cinta Untuk Nabila sebagai lagu evergreen.

Nyata, pengundurun penyanyi utama kumpulan itu, Radzi memberi kesan mendalam hingga anggotanya silih bertukar ganti akhirnya kumpulan itu terus lenyap.

Kini, Radzi yang lebih mesra disapa dengan panggilan Ustaz Radzi bukan lagi Radzi yang dulu dengan imej rambut panjang kerinting, berkaca mata hitam, berseluar jeans ketat dan berjaket kulit.

Ustaz Radzi kini tampil dengan gaya seorang ustaz sesuai dengan kerjayanya sekarang sebagai penceramah bebas dan menjadi pembantu imam di Masjid Zahir, Alor Setar, Kedah.

Video berkenaan boleh ditonton di pautan berikut:

https://www.facebook.com/video.php?v=840166392692154&set=vb.100000964028521&type=2&theater
Read more ...

Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah Sanggup Bersumpah Di Mekah


SHAH ALAM - Ketua pasukan pendakwaan dalam kes Liwat II Ketua Pembangkang, Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah berkata, antara sebab beliau mengetuai pendakwaan kes itu kerana yakin Datuk Seri Anwar Ibrahim benar-benar bersalah.

Katanya, keterangan terhadap Anwar dalam kes itu terlalu kuat untuk membuktikan penasihat PKR itu bersalah kerana tiada seorang pun daripada 14 orang peguam Anwar berani mempertikaikan fakta kes tersebut.

"Saya berani bersumpah di masjid atau Mekah bahawa apabila saya buat rayuan kes ini, saya dengan jujur percaya Anwar salah," beliau dipetik sebagai berkata dalam sebuah akhbar tempatan hari ini.

Mengulas lanjut Shafee berkata, kaitan konspirasi politik dalam kes ini adalah propaganda politik penyokong Anwar.

"Kalau konspirasi politik, ini bukan baru bermula. Ia bermula daripada kes liwat pertama.

"Kalau begitu konspirasi, orang yang harus masuk dalam konspirasi ini ialah Karpal Singh juga sebab dia timbulkan perkara ini dalam tahun 1997, setahun sebelum Anwar kena buang kerja.

"Oleh itu, bagi saya semua itu cerita politik untuk propaganda, kalau kita hendak tahu orang ini dianiayakan atau tidak, kita tengok fakta kes, mereka tidak berani masuk fakta kes," ujarnya.

Shafee dilantik mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes rayuan terakhir Anwar pada Oktober tahun lalu.

Pada 10 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan Anwar bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan dan hukuman penjara lima tahun ke atasnya, kekal.

Rakyat di media sosial pulak mempersoalkan kejujuran beliau apabila membandingkan kes Anwar dengan Altantuya yang kita ketahui hari ini seperti tiada penghujung.

Read more ...

Taufik Nafi Bercinta Dengan Fazura


Sepanjang menjayakan program realiti lawak popular Maharaja Lawak Mega 2014 (MLM2014) sebagai juri tetap yang berakhir 6 Februari lalu, ramai yang mula tertarik dengan penghibur terkenal Singapura, Taufik Batisah, 33.

Selain memiliki wajah tampan, single terbarunya, Awak Kat Mana yang kini sering berkumandang di kebanyakan stesen radio, berjaya memenangi hati sebahagian besar peminat muzik tempatan.

Dilihat dari latar kerjaya seninya, Taufik bukanlah nama baru. Selain muncul sebagai penyanyi Melayu paling popular di Singapura, album dihasilkan pernah juga dipasarkan di sini sekitar 2009 dibawah syarikat rakaman Suria Records.

Kolaborasinya dengan penyanyi popular Indonesia, Rossa menerusi lagu Aku Bersahaja juga banyak membantu mengukuhkan namanya sebagai penyanyi disegani di Nusantara.

Dalam pelbagai kejayaan diraih sejak menjuarai rancangan realiti popular Singapura Idol pada 2004, nyata MLM2014 dilihat lebih berjaya membawa Taufik untuk bertapak kukuh di sini, hingga lagu Awak Kat Mana diterima ramai.

Program itu juga menjadikan namanya jadi sebutan apabila dikaitkan dengan gosip bercinta dengan seorang lagi juri MLM2014, Fazura.

Taufik yang ditemui pada malam kemuncak MLM2014 dan turut menyampaikan lagu Awak Kat Mana, mengakui perkara itu. Katanya, waktu sama ada yang memperlekehkan karya popularnya yang kini makin diminati dan menjadi ikutan dan siulan ramai.

“Mereka yang mengikuti perkembangan kerjaya seni saya dari dulu hingga sekarang memang berasa hairan apabila saya muncul dengan lagu seperti Awak Kat Mana.

“Ia ternyata berbeza sekali dengan apa yang pernah saya cipta dalam album sebelum ini. Kebanyakan karya saya baladanya lebih tebal, lirik bermain dengan perasaan dan susunan muziknya besar. Lagu baru saya ini satu karya ringan.

“Saya kalau hasilkan lagu mengambil masa berhari-hari tetapi untuk lagu ini hanya beberapa jam. Saya buat untuk suka-suka tetapi tidak sangka apabila didengarkan kepada peminat, mereka menggemarinya terutama peminat muda,” katanya.

Kata Taufik, dia melihat perkembangan itu dari sudut positif kerana ada peminat baru dan muda yang tidak tahu karya dihasilkan sebelum ini, akan mencari dan mahu mendengarnya selepas mendengar Awak Kat Mana.

“Ternyata Awak Kat Mana membuka pintu mereka untuk mengenali Taufik Batisah. Apabila lagu ini diminati ramai, saya dan pihak pengurusan mengambil keputusan memasukkannya dalam album terbaru, Fique. Ia sudah dipasarkan di Singapura pada Disember tahun lalu,” katanya.

Mengenai reaksi peminat apabila dia muncul dengan lagu Awak Kat Mana, Taufik akui pada peringkat awal ada yang berasa meluat tetapi mereka tetap ikut menyanyikannya.

“Kalau lihat pada liriknya pun terlalu ringkas. Tapi tidak sangka walaupun ada yang membencinya tetapi tetap mendengarnya. Bukan itu saja, sampaikan ada yang terikut-ikut dengan rentak tariannya. Apabila ia menjadi fenomena saya benar-benar terkejut,” katanya.

Walaupun Awak Kat Mana menjadi kegilaan ramai, Taufik tidak bercadang menjadikan ia sebagai genre pilihan atau konsep albumnya selepas ini.

Mengenai gosipnya dengan Fazura yang dikatakan mempunyai hubungan istimewa, penyanyi yang mempunyai kelulusan dari Singapore Polytechnic itu mengatakan ia hanyalah andaian penonton setia program lawak terbabit.

Katanya, penonton suka dan memberi reaksi setiap kali dia dan Fazura memuat naik gambar bersama di laman sosial masing-masing.

“Dari situ timbul cerita mengatakan kami sedang menjalin hubungan cinta. Hakikatnya, tidak mungkin saya dan Fazura mempunyai apa-apa hubu­ngan istimewa kerana menganggapnya seperti adik,” katanya.

Fazura pula sebelum ini mengakui suka berkawan dengannya dan tidak menolak jika Taufik sudah jodohnya. Fazura juga memuji Taufik sebagai seorang yang bijak dan memang sukakan karaktor lelaki begitu.

Waktu sama, Taufik menghargai peluang diberikan Astro apabila mempelawanya menjadi juri tetap MLM2014, kerana impaknya sangat besar sehingga namanya dikenali di sini.

Selain Taufik dan Fazura turut dipilih sebagai juri tetap MLM2014 ialah Farah Quinn dari Indonesia serta Datuk Jalaluddin Hassan.

Read more ...

Jeritan "Allahu-Akbar" Selamatkan Gadis Ini Daripada Dirogol


KUALA LUMPUR: Jeritan ‘Allahu-Akbar’ menyelamatkan seorang pelajar perempuan sebuah politeknik daripada menjadi mangsa rogol seorang lelaki tidak dikenali dalam kejadian berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Pudu, di sini, Khamis lalu.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, mangsa yang berusia 24 tahun dikatakan menjerit apabila seorang lelaki tiba-tiba meraba buah dadanya selepas dia terjatuh dalam pergelutan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, jeritan itu menyebabkan suspek terkejut dan melarikan diri.

Katanya, suspek sempat mengambil telefon bimbit milik mangsa dianggarkan bernilai RM400.

Zainuddin berkata, mangsa datang ke Kuala Lumpur untuk menghantar surat latihan praktikal sebelum bercadang tinggal sementara di rumah ibu saudaranya di Gombak.

“Sebaik tiba di Hentian Pudu jam 4.15 pagi, mangsa berjalan ke Stesen LRT Pudu tidak jauh dari lokasi perhentian bas ekpress yang dinaikinya.

“Sebaik tiba di stesen berkenaan, mangsa mendapati pintu pagar masih berkunci kerana perkhidmatan pada hari berkenaan belum beroperasi,” katanya.

Menurutnya, mangsa berpatah balik ke Hentian Pudu berikutan keadaan di stesen itu gelap, sunyi dan berbahaya.

“Ketika berjalan mangsa ditegur lelaki tidak dikenali yang menghalang dan menutup mulut mangsa serta mengugut mahu membunuh mangsa sekiranya dia menjerit,” katanya.

Katanya, mangsa tidak cedera dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana samun dan cabul.
Read more ...

Pasangan Gay China Menang Pertandingan Kahwin


BEIJING: Sepuluh pasangan gay di China telah memenangi lawatan ke Amerika Syarikat untuk berkahwin pada musim panas ini sebagai sebahagian daripada pertandingan yang dianjurkan oleh platform Taobao e-dagang Alibaba, lapor AFP.

Empat ratus pasangan memasuki loteri pra-Valentine yang dianjurkan oleh dua badan amal hak gay yang merupakan satu langkah yang sangat luar biasa untuk China di mana perkahwinan sejenis dan homoseksual adalah masih haram di negara ini.

Para calon terpaksa memuat naik video pendek yang menerangkan kisah cinta mereka.

Pihak penganjur kemudian senarai pendek peserta kepada hanya 20 peserta akhir sebelum membuka persaingan untuk undi awam.

Pasangan yang berjaya akan diterbangkan ke Los Angeles pada bulan Jun untuk berkahwin.
Read more ...

Ibrahim Ali Seru BN Tanding PRK DUN Cempaka


KUALA LUMPUR: Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali menyindir tindakan UMNO Kelantan yang tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Cempaka atas alasan banjir.

Beliau dalam kenyataannya di laman Facebook hari ini berkata, alasan memberi tumpuan kepada banjir disifatkan sebagai kelakar.


Menurutnya, UMNO mesti bertanding dan sebagai parti politik, prinsip yang harus dilakukan adalah mesti bertanding walaupun pelbagai alasan diberikan.

“Banjir besar yang berlaku ini adalah alasan kuat untuk UMNO bertanding dan kena pada masanya untuk menyedarkan pengundi, siapa yang yang membela mereka ketika banjir melanda.

“Bukankah berkhidmat adalah perkara utama dalam perjuangan politik,” katanya.

Menurutnya, melalui PRK di DUN Cempaka, UMNO dapat membuktikan parti itu mampu berbakti kepada rakyat.

Beliau berkata, sekiranya UMNO Kelantan sebuah badan bukan kerajaan (NGO), mereka boleh untuk tidak bertanding dalam kawasan itu.

Ibrahim turut menggesa UMNO untuk bertanding dan sekiranya enggan, ianya jelas menunjukkan UMNO takut kalah.

Katanya lagi, adat pertandingan, ada kalah dan menang.

Tambahnya, program bantuan banjir diteruskan di tempat yang terlibat dan pada masa sama, UMNO terus bertanding.

“Ini baru seiring dengan kepercayaan UMNO sebagai parti hebat sepanjang zaman,” katanya.

Beliau menyifatkan kemenangan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di DUN Cempaka bukan kerana parti PAS semata-mata tetapi kerana keperibadian Allahyarham.

“Sudah tiba masanya UMNO menguji PRK DUN Cempaka,” katanya.

Ibrahim berkata, PAS bersunguh-sungguh bekerjasama dengan UMNO Pusat apabila melibatkan isu banjir namun PAS dilihat begitu angkuh menolak kerjasama perpaduan UMNO dengan ummah.

Beliau menyifatkan perkara itu sekadar mahu jumpa dan berbincang, kemudian muka orang UMNO di’ludah’.

“Banjir diurus UMNO, kerusi dalam Dewan pula diberi kepada PAS secara percuma. Baiknya Tok Pa,” katanya kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

“Apa kata Tok Pa dan UMNO Kelantan dibubar dan semua masuk PAS atau jadi NGO kerana perlu tumpu pada banjir memandangkan Kelantan berdepan banjir setiap tahun,” katanya lagi.

Beliau turut mengakui UMNO seperti sebuah badan politik kebajikan dan PAS pula benar-benar sebuah parti politik.
Read more ...

Lebih 100 Bank Seluruh Dunia Jadi Mangsa Penggodam


WASHINGTON: Beratus-ratus juta dolar telah dicuri daripada 100 buah bank di 30 buah negara melalui serangan siber yang berterusan.

Sekumpulan penggodam warga Eropah, Rusia dan Cina melakukan serangan tersebut pada lewat 2013, dengan mendapat hasil sekitar USD 300 juta, yang direkodkan sebagai rompakan bank yang terbesar di dunia, lapor The New York Times pada Sabtu.

Penggodam tersebut telah menggunakan perisian berniat jahat yang memberikan mereka akses jangka panjang kepada sistem perbankan.

Menurut laporan itu lagi, kumpulan penggodam terbabit memiliki akses kepada sistem berkenaan dan boleh membuatkan mesin juruwang automatik (ATM) mengeluarkan wang tunai pada masa dan lokasi tertentu sebelum dipindahkan.

Untuk mengelak dikesan, penggodam memindahkan wang dalam jumlah yang kecil ke pelbagai akaun bank di pelbagai negara.

Kebanyakan wang yang dicuri telah diambil dari bank-bank di Rusia, tetapi bank-bank di Jepun, Belanda, Switzerland dan Amerika Syarikat juga telah diserang.
Read more ...

Lebih 100 Ikan Paus Mati Terdampar


WELLINGTON: Lebih 100 ikan paus mati  terdampar di pantai New Zealand, menurut pegawai pemuliharaan, lapor AFP.

Ikan-ikan paus berkenaan terdampar sendiri di pantai pada hari Jumaat di Farewell Spit di hujung utara Pulau Selatan, dengan berpuluh-puluh penyelamat berlumba-lumba menyelamatkan mamalia marin pada petang semasa air pasang.

Tetapi jurucakap, Jabatan Pemuliharaan (DOC) Andrew Lamason berkata ikan-ikan paus telah berenang kembali ke pantai lagi  semalaman.

“Kini kami telah temui 103 ikan paus yang disahkan mati dan kami cuba untuk menjaga selebihnya hidup,” katanya kepada AFP.

“Terdapat kira-kira 150 sukarelawan yang cuba untuk membuat ikan-ikan paus itu  selesa dengan meletakkan pelapik dan air atas badan mereka.

Menurut Lamason, kejadian itu menyedihkan semua yang terlibat.

“Ada banyak ikan paus muda yang telah mati. Ia agak emosi masa untuk semua kakitangan kami,” katanya.

 “Ikan paus juga melalui banyak trauma fizikal dan emosi.”
Read more ...

Pelbagai Tanda Kematian Dimuliakan Allah SWT


SHAH ALAM - Terdapat pelbagai tanda kematian yang dimuliakan di sisi ALLAH.

Pengerusi Pertubuhan Muttaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid), Dr Zaharuddin Abdul Rahman berkata, kehadiran ramai kenalan dan sahabat menunjukkan si mati mempunyai kemuliaan tinggi di sisi ALLAH.

"Orang yang datang menziarahi itu adalah rezeki daripada ALLAH SWT kerana mereka datang dengan membawa doa kepada si mati.

"Kenikmatan yang diberikan ALLAH itu hanya diberikan kepada mereka yang terpilih. Bagi meraih kemuliaan di sisi ALLAH, seseorang perlu mendekatkan diri dengan Yang Maha Esa, sentiasa perlu mencari keredaan Ilahi dan sentiasa merendah diri sesama insan," katanya.

Beliau berkata, perkara (kemuliaan) itu boleh dilihat terhadap Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang yang warak.

"Allahyarham juga turut memberi sedekah dengan duit gajinya dari dulu hingga kini.

"Kredibiliti diri yang tinggi serta disenangi rakyat antara kelebihan seseorang itu boleh dianggap mendapat kemuliaan di sisi ALLAH," katanya.

Pendakwah Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kassim berkata, antara tanda kemuliaan seseorang ialah kematian pada hari Jumaat selain dihadiri ramai kenalan dan sahabat.

“Dalam hadis riwayat Tirmidzi ada mengatakan orang yang mati pada hari Jumaat atau pada malam Jumaat, ALLAH akan selamatkannya daripada azab kubur.

“Maknanya, nak kata fadilat orang meninggal dunia pada hari Jumaat adalah orang terpilih. ALLAH muliakan sesiapa yang meninggal pada hari Jumaat, iaitu hari terbaik daripada hari lain. ALLAH nak tunjukkan dan berikan kelebihan pada orang-orang sebegini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, tidak ramai yang terpilih dan diberikan kelebihan untuk meninggal dunia pada hari Jumaat.

“Orang-orang terpilih ini biasanya mereka yang memiliki kewarakan yang tinggi, kuat ibadahnya dan terkenal dengan kebaikannya dengan manusia.

“Sebab itu kita kena baik dengan manusia dan ALLAH. Bila kita baik dengan manusia, ALLAH akan jadikan manusia baik dengan kita. Bila kita baik dengan ALLAH, ALLAH akan tolong kita di akhirat,” katanya.

Katanya, kehadiran ramai kenalan dan sahabat menunaikan solat jenazah juga antara tanda kemuliaan daripada ALLAH kepada si mati.

“Untuk solat jenazah, makmum disunatkan membentuk tiga saf untuk muliakan si mati. Tetapi jika jumlahnya lebih daripada tiga saf ia adalah kemuliaan yang ALLAH gambarkan terhadap si mati,” katanya.
Read more ...

Allahyarham Berpesan "Teruskan Pejuangan"


Kota Bharu: “Allahyarham ayahanda berpesan kepada anak buah supaya meneruskan perjuangan mereka,” kata Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, 45, ketika ditemui pada sidang media selepas majlis pengebumian bekas Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, semalam.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, pesanan itu diberikan bapanya ketika arwah dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian sebelum dibawa pulang ke rumah mereka di Pulau Melaka di sini.

“Itu cara untuk terus mengingati Allahyarham ayahanda dan memastikan syiar Islam terus berkembang di negara ini,” katanya selepas majlis pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Pulau Melaka di sini, semalam yang dihadiri kira-kira 50,000 orang.

Nik Mohamad Abduh turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Jemaah Menteri serta orang ramai yang mendoakan ayahandanya.

“Saya bersyukur kepada Allah SWT walaupun suasana agak ramai, tetapi pengebumian dapat diselesaikan dengan selamat dan sempurna.
Read more ...

Selepas Kontroversi Rasis, Ismail Sabri Pulak Cabar Pembangkang


SUNGAI BULOH: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mencabar parti pembangkang untuk turun berarak ke jalan raya untuk mendesak para peniaga menurunkan harga barangan.

Ismail Sabri berkata, sewaktu harga barang naik ketika harga minyak tidak diturunkan mereka mengajak rakyat supaya turun ke jalan raya mendesak harga diturunkan.

Menurutnya, apabila harga minyak telah diturunkan dan harga barang tidak turun, tidak ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan untuk mendesak para peniaga.

“Apabila saya mendesak para peniaga turunkan harga, parti pembangkang menyerang saya dan bermakna mereka tidak menjaga kepentingan rakyat sebaliknya menjaga kepentingan peniaga yang degil tidak mahu turunkan harga barang.

“Oleh itu, hari ini saya mencabar parti pembangkang untuk berarak ke jalan raya mendesak supaya para peniaga yang degil supaya menurunkan harga barang,” katanya selepas merasmikan Kempen Jihad Membasmi Orang Tengah dan Penurunan Harga Barang di sebuah pasar raya hari ini.

Tambah beliau, para peniaga hari ini sudah tidak mempunyai alasan untuk tidak menurunkan harga barangan apabila tarif elektrik juga akan diturunkan.

Jelasnya, sebelum ini apabila harga minyak telah turun mereka menggunakan alasan bahawa terpaksa menanggung kos elektrik akibat tarif yang tinggi.

“Jadi mereka sudah tidak lagi boleh menggunakan alasan berkenaan dan mula menurunkan harga barangan keluaran mereka,” ujarnya./
Read more ...

Bantahan 300 Pelajar Kembalinya Pengarah Sekolah Bertugas


Bangkok: Kira-kira 300 pelajar berkumpul di pekarangan Sekolah Satriwitthaya 2 untuk membantah kembalinya pengarah mereka selepas diketepikan ekoran dakwaan rasuah.

Sebelum ini Pacharapong Trithepha dituduh menyalahgunakan kedudukannya sebagai pengarah sekolah itu untuk mendapatkan tajaan 3.1 juta baht (RM332,795) daripada seorang hartawan.

Dana itu didakwa diperlukan untuk membiayai kos pancaragam sekolah itu bertanding di luar negara.

Apabila tindakan itu terdedah, Pacharapong dipindahkan ke bahagian lain tetapi kini disebut-sebut bakal kembali ke sekolah berkenaan.

Pelajar dan ibu bapa berpendapat, Pacharapong gagal sebagai pentadbir, selain pernah menimbulkan masalah dalaman.

Polis dan tentera terpaksa dikerah ke sekolah itu untuk mengawal keadaan, namun tiada kejadian tidak diingini berlaku. - Agensi
Read more ...

SPRM Syor Peruntukan ‘salah laku penjawat awam’


Satu peruntukan berkaitan salah laku penjawat awam perlu digubal segera bagi membolehkan usaha pencegahan rasuah dapat dilaksanakan secara holistik dan menyeluruh.

Cadangan itu disuarakan oleh Panel Penilaian Operasi (PPO) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang melihat perkembangan terkini di Malaysia menyebabkan peruntukan itu penting dalam pencegahan rasuah.

Pengerusi PPO Tan Sri Dr Hadenan Abdul Jalil berkata undang-undang berkaitan salah laku dalam kalangan penjawat awam perlu digubal bagi membolehkan masalah seperti ketirisan dan pembaziran dalam pengendalian kewangan agensi kerajaan seperti yang sering kali ditegaskan dalam Laporan Ketua Audit Negara, diambil tindakan.

"PPO dapati sebahagian besar kes yang dilaporkan dalam Laporan Audit Negara adalah mengenai pembelian barang dengan harga mahal yang menimbulkan persepsi berlaku rasuah serta penyelewengan," katanya di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau menambah peruntukan sedemikian sangat penting bagi mengambil tindakan terhadap penjawat awam yang tidak amanah serta sambil lewa dalam menjalankan tugas.

"Kebanyakan situasi tidak dapat dikenakan tuduhan di bawah undang-undang rasuah dan penyelewengan secara langsung," kata Hadenan.

Sehubungan itu, PPO mengesyorkan kepada kerajaan supaya bertindak tegas dan tidak berkompromi dalam isu ketirisan itu serta mencadangkan untuk memasukkan kesalahan itu dalam Akta SPRM 2009, katanya.

PPO diwujudkan secara pentadbiran dan anggotanya terdiri daripada mereka yang mempunyai kepakaran dan mewakili badan-badan profesional, bersesuaian serta individu yang berupaya memperlihatkan ketelusan dan kebebasan tindakan oleh SPRM.

PPO adalah mekanisme "memantau dan menegur" berhubung kes penyiasatan yang dijalankan dan juga boleh mencadangkan kes dikaji semula sekiranya tidak berpuas hati dengan penjelasan yang dikemukakan.

Hadenan turut menyentuh tentang kes-kes yang ditutup dan menurutnya bagi membolehkan kes itu dibuka semula, perlu ada tiga elemen penting untuk mensabitkan kesalahannya.

"Pertamanya, bukti mesti kukuh, mesti ada saksi yang boleh dipercayai dan hakim bagi mendengar kes," katanya.

Ketika ditanya mengenai prestasi PPO dalam tempoh enam tahun lepas yang diterajuinya, beliau berkata pihaknya telah mencapai banyak kemajuan.

"Pertamanya peningkatan imej SPRM... orang ramai menganggap SPRM sebagai institusi yang mereka boleh bergantung, hasil daripada transformasi dalam pengumpulan maklumat. Kini kami menumpukan pada laporan dan juga lebih banyak staf untuk meliputi seluruh negara," katanya.

Ketika ditanya mengenai tentang keberkesanan SPRM sebagai agensi yang bebas dan boleh mendapat kepercayaan orang ramai untuk menjadi lebih baik, Hadenan berkata: "Bebas adalah satu perkara... bagi saya organisasi yang efektif memerlukan komitmen semua".

"Kes rasuah sebenarnya bukan membabitkan usaha oleh SPRM sahaja, tetapi juga komitmen rakyat... mencegah rasuah tidak harus diletakkan di bahu SPRM sahaja, setiap orang perlu memainkan peranan mereka termasuk NGO, rakyat dan ahli politik," katanya.
– Bernama
Read more ...

Nik Aziz Penyatu PKR Selepas Anwar


Pakatan Rakyat (PR) hilang seorang lagi tokoh yang boleh menyatukan mereka selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menghembuskan nafasnya yang terakhir pada umur 84 tahun malam ini.

Nik Aziz merupakan tokong penting yang menjadi penyatu antara PAS dengan PKR dan DAP selain Anwar.

Beliau menolak sebarang usaha untuk memecahkan PR apabila dikatakan ada usaha untuk merapatkan PAS dengan Umno oleh segelintir pemimpin PAS.

Anwar sentiasa akan ke Kota Baru untuk bertemu Nik Aziz ketika mahu membuat sebarang keputusan penting.

Mac tahun lalu Anwar bertemu Nik Aziz dan bersolat subuh bersamanya ketika mahu menghadapi perbicaraan di Mahkamah Persekutuan dan berkesudahan denga dijatuhkan hukuman lima tahun penjara Selasa lepas.

Pemergian Nik Aziz sama tarikh dengan tokoh besar Ikhwanul Muslimin Mesir Hassan Al Banna 66 tahun lalu yang turut meninggal pada 12 Februari 1949.

Jenazah Nik Aziz akan disolatkan jam 10 pagi esok di Masjid Pulau Melaka yang terletak bersebelahan dengan rumahnya di Kota Baru, Kelantan.

Ketika artikel ini ditulis, para pemimpin PAS dan penyokongnya berduyun-duyun ke Pulau Melaka bagi memberikan penghormatan terakhir kepada pemimpin kerohanian yang terbilang ini.

Kesihatan Nik Aziz dikatakan jatuh mendadak selepas diberitahu Anwar dijatuhkan hukuman penjara Selasa lepas.

Nik Aziz dibawa pulang ke rumahnya petang tadi dari Hospital Universiti Sains Malaysia selepas dibuang alat bantuan pernafasannya petang tadi.

Beliau menghembuskan nafas terakhir selepas kira-kira sejam sampai ke rumahnya.

"Rakyat Malaysia kehilangan seorang pemimpin dan 'guidance' kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama," kata Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dalam satu kenyataan segeranya selepas kematian Nik Aziz.

Bagi Mohamad yang dikenali sebagai Mat Sabu, Nik Aziz merupakan pemimpin yang mencipta fenomena baru dengan teladan sebagai pemimpin kerajaan, bukan untuk mencari kekayaan peribadi, pangkat mahupun nama tetapi menjadi “guidance” untuk rakyat Kelantan dan semua rakyat Malaysia secara amnya. – 12 Februari, 2015.
Read more ...

TPM Ucap Takziah Kepada Keluarga Mursyidul Am Pas


KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meninggal dunia di kediamannya di Pulau Melaka, malam tadi.

Beliau dalam lama Twitternya mengucapkan takziah dan mendoakan Allahyarham ditempatkan bersama hamba yang soleh.

“Saya penuh dengan rasa dukacita mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz.

“Semoga roh beliau ditempatkan bersama hamba-hambanya yang soleh,” katanya dalam laman Twitternya.

Pemimpin DAP seperti Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang merakamkan takziah atas pemergian Nik Aziz dalam media sosial masing-masing.

Kit Siang dalam laman Twitternya berkata: “Pemergian Nik Aziz adalah kehilangan besar kepada negara. Takziah kepada keluarganya,”.

“Takziah kepada keluarga bekas Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz dan PAS serta ahli dan penyokong,” kata Guan Eng dalam laman Twitternya.

Sementara itu, Presiden Keadilan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut mengucapkan takziah kepada keluarga Nik Abdul Aziz.

Menurutnya, parti Keadilan mengucapkan takziah kepada Pas di atas kehilangan pemimpin mereka.

Menurutnya, sumbangan Allahyarham dalam dakwah dan perkembangan Islam serta pembangunan masyarakat terlalu besar untuk diluahkan.

“Mari kita bersama berdoa supaya Allah merahmati rohnya dan ditempatkan di kalangan orang yang soleh,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman sosial Facebook.

Nik Aziz yang menghidap penyakit kanser prostat tahap empat, mula dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HUSM sejak 19 Januari lalu, berikutan kesihatannya semakin merosot.

Mursyidul Am PAS itu menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Pulau Melaka kira-kira jam 9.40 malam tadi selepas dibawa keluar dari Hospital Universiti Sains Malaysia.
Read more ...

Kontena Menghempap Wanita OKU


GEORGE TOWN: Seorang wanita kurang upaya mati serta merta apabila 32.5 tan kontena terjatuh dan menghempap tempat menunggu bas di Air Itam.

P’ng Eow Hong, 48, yang mengalami sindrom ‘kaki pendek’, sejak lahir dipercayai menunggu bas awam di perhentian bas berhadapan dengan pejabat pos Air Itam ketika kejadian itu berlaku jam 3.10 petang tadi.

Sekumpulan anggota Bomba dan Penyelamat Paya Terubong dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan daripada orang awam.

“Apa yang kami tahu, menurut maklumat yang diterima, trak kontena itu diletakkan di situ sejak 24 jam lalu.

“Di dalamnya merupakan rangka katil,” kata jurucakap bomba dan penyelamat.

Anggota penyelamat terpaksa mengambil masa 40 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa.

Mayat P’ng, berasal dari Jalan P. Ramlee dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.
Read more ...

Solat Jenazah Allahyarham Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat Pada Pukul 10 Pagi Jumaat


KUALA LUMPUR: Solat jenazah ke atas Allahyarham Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan diadakan pada pukul 10 pagi Jumaat di Masjid Pulau Melaka. Jenazah kemudian akan dibawa ke tanah perkuburan Pulau Melaka.

Urusetia Pengurusan Ziarah dan Solat Jenazah dalam satu kenyataan yang dikeluarkan awal pagi ini memaklumkan kenderaan shuttle disediakan di Dataran Stadium Sultan Muhammad ke-IV untuk orang ramai yang ingin menziarahi jenazah. Kenderaan itu disediakan mulai pukul 7.30 pagi yang akan membawa orang ramai ke kediaman Allahyarham di Pulau Melaka.

Tetamu-tetamu dari kalangan pimpinan parti-parti politik dan lain-lain yang tiba melalui Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Pengkalan Chepa boleh ke Pulau Melaka dengan menggunakan kenderaan yang akan disediakan.

Urusetia itu juga memaklumkan jalan akan ditutup bermula dari Simpang 4 Panji (JPJ) hingga ke Simpang 4 Kota Jembal (Jalan Sultan Omar).

Nik Abdul Aziz menghembuskan nafas terakhir di kediamannya pada pukul 9.40 malam tadi, kira-kira sejam selepas dibawa pulang dari hospital. - astroawani
Read more ...

Nik Abdul Aziz Kembali Ke Rahmatullah


Kota Bharu: Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia 9.45 malam tadi di rumahnya di Pulau Melaka, di sini.

Berita pemergian tokoh agama dan politik itu dimaklumkan oleh ahli keluarga terdekat Allahyarham.

Terdahulu, bekas Menteri Besar Kelantan dibawa pulang ke rumahnya di Pulau Melaka di sini kira-kira 8.55 malam tadi selepas berada di HUSM sejak 19 Januari lalu kerana kanser prostat.

Beliau dilihat diusung dengan menggunakan katil dalam keadaan tidak sedarkan diri dan bantuan oksigen.

Difahamkan Nik Abdul Aziz keluar daripada wad di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian kira-kira 8.40 malam.

Kelihatan orang ramai mula membanjiri perkarangan kediaman sejak 8 malam tadi. - myMetro
Read more ...

Kesihatan Nik Aziz Kembali Merosot


KOTA BHARU - Kesihatan bekas Menteri Besar Kelantan dilaporkan merosot hari ini  selepas menjalani rawatan ulsernya kelmarin, demikian kata anaknya, Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Nik Abduh berkata, doktor yang merawatnya di Unit Rawatan Rapi (ICU)  Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) sedang berusaha menstabilkan Mursyidul Am Pas itu kembali.

“Saya tidak pasti sama ada ayahanda akan dibenarkan pulang pada pagi esok sebagaimana dijadualkan. Saya tunggu pengesahan doktor,” katanya ketika menulis dalam Facebooknya petang ini. - SH
Read more ...

Ayat-Ayat "Power" Hasbullah Awang

Allahyarham Datuk Haji Hasbullah Awang sememangnya antara pengulas sukan terbaik negara yang sukar dicari ganti.

Berkaliber dalam butir bicaranya ketika membuat komentar semasa berlangsungnya sesuatu perlawanan, beliau turut dikenali kerana penggunaan terma yang unik serta tersendiri!


Mana taknya, ketika penonton kaca televisyen berdebar menyaksikan acara, mereka turut ‘terhibur’ dengan humor santai dan spontan Allahyarham.

Melalui laman media sosial, kebanyakan peminat berkongsikan beberapa ungkapan keramat yang digunakan Hasbullah.

1. “Mungkin jaringan ini adalah hadiah ulangtahun beliau yang ke 25 tahun.”

2. “Bersilat nampaknya Mat Yo di situ.”

3. “Dia mengapung-apungkan badannya di udara, dan satu pukulan tajam lalu bulu tangkis terbenam di dalam gelanggang.”

4. “Rashid terbang bagaikan kupu-kupu…” – Piala Thomas 1992

5. “Bola masuk saya rasa, oh tidak, tidak, tidak. Maafkan saya saudara.”

6. “Penyokong Pahang membelah Banjaran Titiwangsa untuk datang ke Stadium Bukit Jalil…” – Final Piala FA 2006

7. “Oh sayang…hanya ketepatan saja yang tidak menepati…”

8. Nampaknya telah kelihatan bunga-bunga kekasaran dalam padang ketika ini, kita harapkan pemain dapat mengawal emosi.”

9. “Manusia paling pantas di muka bumi.”

10. “Ahh, sayang peluang di depan gol dipersia-siakan oleh pemain yang berasal dari Kajang…bersekolah di Taiping dan dibesarkan di Johor…mendapat 8A dalam SPM dan makanan kegemaran nasi ayam.”

11. “Safiq membawa bola…oh maafkan saya…Safee Sali di situ…Safiq di seberang sana menanti bola.”

12. “Satu rembatan…ooo…terkena palang…sayang sekali…palang menjadi penghalang.”

13. “Mereka berkampung di kawasan penalti.”

14. “Kita ketahui pemain ini yang dianggap ayam tambatan sukar di cari…Daaannn goolll, oh tidak bola muntah kembali.”

15. “Bola di kaki Badrul Muhayat…oh maafkan saya Badrol Bakhtiar sebenarnya…Badrul Muhayat seorang pelakon.”

Ya, para peminat pasti akan merindui ulasan-ulasan menarik yang diberikan figura tersebut terutama dalam sukan bola sepak dan badminton.

Kehilanganmu sukar dicari ganti, Al-Fatihah untuk Allahyarham Datuk Haji Hasbullah Awang. – MYNEWSHUB.CC
Read more ...

Malaysia Bakal Bertemu Liverpool


PETALING JAYA: Kelab tersohor Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool, dijangka akan kembali beraksi dalam perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Harimau Malaya, Julai ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah kunjungan kelab tersebut masih dalam peringkat perbincangan dan pengesahan tentang perlawanan itu akan diketahui selewat-lewatnya bulan depan.

“Untuk peminat bola sepak negara, pasukan Liverpool bercadang untuk mengunjung ke Malaysia tetapi perkara ini belum dimeterai. Kami jangkakan perlawanan tersebut akan diadakan pada dua minggu selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri pada Julai ini,” titah baginda.

Tengku Abdullah bertitah demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kali ketiga bagi penggal 2014-2018 di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini hari ini.

Kali terakhir pasukan Liverpool beraksi di Malaysia ialah pada tahun 2011 dengan menewaskan Harimau Malaya 6-3 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Dalam perkembangan lain, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Ivory Coast akan diketahui selewat-lewatnya Selasa ini.

“Jika perlawanan menentang Ivory Coast tidak dapat diadakan, pasukan negara akan menentang Syria. Pasukan Syria telah bersetuju untuk mengadakan perlawanan di sini sekiranya pasukan Ivory Coast tidak dapat datang,” kata Hamidin.

Beliau berkata perlawanan tersebut akan diadakan pada 28 Mac ini di Stadium Ipoh, Perak.

- therakyatpost
Read more ...

KD Tidak Galak Anak Kahwin Muda


Penyanyi terkenal dari seberang, Krisdayanti mengakui tidak menggalakkan anak gadisnya, Titania Aurelie Hermansyah berkahwin pada usia muda.

Gadis yang kini berusia 17 tahun itu dikatakan sudah mempunyai kekasih, namun keintiman mereka membuatkan penyanyi yang mesra dengan panggilan KD itu berharap perhubungan itu tidak berakhir ke jenjang pelamin dalam waktu yang terdekat, sebaliknya mahu anak dan kekasihnya lebih fokus terhadap pelajaran dan masa depan.

“Saya tahu dia kini sudah mempunyai teman lelaki. Baru-baru ini, saya sempat berhubung melalui telefon dengannya dan dia sedang bercuti.

“Saya mengusik­nya adakah dia mengambil gambar praperkahwinan, sambil ketawa dia menyatakan bercuti sekadar suka-suka dengan teman lain juga.

“Sebagai orang tua yang mempunyai pengalaman berkahwin pada usia muda, saya sendiri tidak menggalakkan anak berbuat demikian.

“Bukan kerana menyesal, tetapi saya tidak mahu dia kehilangan waktu remaja terlalu awal. Kita remaja hanya sekali, manfaatkanlah ia sebaiknya.

“Lagipun, saya tahu keluarga kekasih anak saya datang daripada keluarga yang berpendidikan dan yakin mereka juga berharap anak mereka menamatkan pe­ngajian sehingga bekerja,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran minggu setiausaha Krisdayanti Di Taman Bintang.... yang akan diadakan di Hotel The Royale Chulan Damansara.

Acara yang akan berlangsung pada 16 April depan difahamkan mendapat sambutan yang begitu hangat sehinggakan belum saja diadakan majlis sidang akhbar, tiket sudah hampir separuh dijual.

Bertemakan dalam taman, pastinya ada suatu kelainan yang bakal ditampil­kan pada persembahan KD nanti.

“Saya yakin pada hari itu nanti pasti ada peminat baru yang belum pernah me­nyaksikan persembahan saya.

“Justeru, tidak hanya mereka, malah kepada peminat sedia ada yang sering mengikuti persembahan saya akan disajikan dengan persembahan luar biasa yang pasti akan menjadi kena­ngan buat mereka.

“Saya akan tampil dengan 17 lagu termasuk lagu daripada penyanyi lain seperti Dayang Nurfaizah dan Datuk M Daud Kilau.

“Antara lagu mereka yang akan saya persembahkan ialah Di Pintu Syurga, Cek Mek Molek, Joget Kelantan dan Laksamana Raja Di Laut,” katanya.

Bagi peminat yang ingin menyaksikan persembahan KD boleh mendapat­kan tempahan meja atau kerusi dengan menghubungi talian 03-79599190 atau e-mel kepada ticket@trcd.com.my. - myMetro
Read more ...

Kapten Sebabkan Kapal Karam Dihukum Penjara 16 Tahun


ITALI: Kapten kapal persiaran Costa Concordia Itali didapati bersalah membunuh tanpa niat dan dijatuhi hukuman 16 tahun penjara, lapor BBC.

Francesco Schettino didapati bersalah atas dakwaan membunuh, menjadi punca kapal berkenaan karam selain meninggalkan kapal berkenaan ketika ribuan penumpang dan anak kapal masih berada di dalamnya.

Schettino menafikan semua tuduhan dan berkata beliau telah dibuat kambing hitam.


Peguam dia telah berhujah bahawa ia adalah satu kegagalan kolektif, maka anak kapal dan pihak lain perlu berkongsi kesalahan atas bencana ini.

Schettino tidak hadir apabila Hakim Giovanni Puliatti membacakan keputusan itu di mahkamah di bandar Grosseto.

Kapten yang berusia 54 tahun itu dijangka akan merayu terhadap keputusan itu.

- therakyatpost
Read more ...

"Suara Sukan Malaysia" Hasbullah Awang Meninggal Dunia


KUALA LUMPUR: Pengulas sukan  negara, Datuk Hasbullah Awang, 63. dilaporkan meninggal dunia pada usia 63 tahun di Institut Jantung Negara dipercayai akibat komplikasi jantung.

Beliau yang betugas sebagai pengulas sukan bagi rangkaian Astro Arena sejak Januari 2014, menghembuskan nafas terakhir selepas menerima rawatan di fasiliti perubatan tesebut sejak minggu lalu.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dalam twit terbarunya meluahkan rasa sedih ke atas pemergian Allahyarham yang dianggapnya sebagai 'Suara Sukan Malaysia'.

Allahyarham merupakan antara pengulas sukan terbaik yang pernah dilahirkan negara sebaris nama-nama besar lain seperti Datuk Rahim Razali. Allahyarham mempunyai aura tersendiri dengan intonasi suara yang menarik membuatkan kita menjadi seronok mendengar setiap ulasan daripada beliau. Ramai yang berpendapat, Allahyarham memiliki  tonesuara yang mempunyai weight tersendiri.

Allahyarham yang dilahirkan 9 September 1952 di Teluk Intan, Perak, memulakan tugas sebagai juruhebah radio di Radio 1 RTM selain pernah menjadi pembantu mengendalikan program khas radio untuk kanak-kanak bersama Kak Yong.

Populariti Allahyarham memuncak ketika zaman bola sepak Malaysia memasuki era Semi-Pro pada awal 1990-an.

Ketika mengulas perlawanan bolasepak, Allahyarham mempunyai gaya yang tersendiri, beliau akan menyebut asal pemain yang sedang beraksi, apa kegemaran pemain tersebut dan siapa mencungkil bakat pemain itu.

Penonton bukan hanya sekadar melihat aksi pemain itu dan mendengar celoteh pengulas tetapi dapat juga mengetahui sedikit sebanyak latar belakang bintang sukan yang mereka minati.

Itulah kelebihan insan bernama Hasbullah Awang yang mungkin sukar dicari ganti. Semoga rohnya dicucuri rahmat-Nya dan ditempatkan dikalangan orang yang beriman dan soleh. Al-Fatihah. - astroawani
Read more ...

27 Pengawal Digantung Tugas Gagal Sebabkan Presiden Zimbabwe Jatuh


HARARE - ZIMBABWE. Seramai 27 pengawai pengiring digantung tugas kerana gagal menyelamatkan Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe daripada terjatuh.

Menurut Dailymail UK, kejadian berkenaan menyebabkan beberapa gambar Mugabe terjatuh dijadikan bahan jenaka di internet.

Foto-foto tersebut yang telah diubah dan ditambah dengan elemen-elemen jenaka tersebar di dunia maya, dikenali sebagai 'meme' dan disertai oleh hashtag #MugabeFalls.

Sementara itu, portal berita Zimbabwe, The Standard melaporkan, kejadian tersebut membuktikan pengawal 'tidur', tidak memahami asas pengawalan dan gagal berada tiga kaki dari kedudukan Presiden.
Read more ...

Kabus Punca 100 Kenderaan Kemalangan


Seoul: Dua orang terbunuh dan 43 cedera pada hari Rabu, termasuk lima warga asing, dalam pelanggaran 100 kenderaan bertindan-tindih di lebuh raya ke lapangan terbang antarabangsa terbesar Korea Selatan, menurut polis, lapor AFP.

Pelanggaran berlaku apabila kabus selubungi sebuah jambatan yang menjadi sebahagian daripada lebuh raya utama yang menghubungkan lapangan terbang Incheon dengan ibu negara.

Pelanggaran itu dikatakan bermula apabila limosin rempuh ke belakang sebuah kereta, kata seorang jurucakap balai polis Incheon.



“Lebih daripada 100 kenderaan yang terlibat dalam pelanggaran itu,” katanya, sambil menambah bahawa pemandu hanya dapat melihat sejauh 15 meter (50 kaki) di hadapan mereka dalam kabus itu.

Lima warga asing adalah antara 43 yang cedera, tetapi kewarganegaraan mereka tidak segera didedahkan, tambah jurucakap itu.

Rakaman televisyen menunjukkan anggota kecemasan cuba alihkan kenderaan yang ranap daripada jambatan yang diselubungi kabus tebal.

Seorang lagi pemandu berkata kabus tebal telah menghalang beliau daripada melihat apa yang berlaku di hadapan.

“Saya perlahan tetapi masih merempuh kereta di hadapan saya,” katanya.

- therakyatpost

Read more ...
ads