Nurul Izzah: Kerajaan Belum Sedia Laksana GST


KUALA LUMPUR: Kerajaan dilihat masih belum bersedia untuk melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dijadualkan bermula 1 April ini.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar dalam satu kenyataan berkata, parti itu telah menyuarakan kebimbangan berhubung GST terhadap ubat-ubatan dan buku, sejak November tahun lalu, namun gagal mendapat perhatian kerajaan.

“Setelah diasak bertalu-talu dan ditekan, termasuklah menerusi penyertaan 100 warganegara Malaysia yang membuat aduan di kaunter awam Pejabat Kastam Kelana Jaya, pada 23 Mac lalu, Kementerian Kewangan akhirnya menambah senarai barangan dan perkhidmatan yang dikecualikan cukai di bawah GST.

“Ternyata, kita mengalu-alukan keputusan kerajaan yang memperluaskan GST pada kadar sifar, yang dahulunya hanya tertakluk kepada buku tertentu, seperti buku latihan, kamus, buku teks, buku rujukan, kitab agama, surat khabar, termasuk versi elektronik, buku bergambar, buku lukisan dan buku warna kanak-kanak yang diumumkan sebelum ini, kini dikadarsifarkan buat semua jenis bahan bacaan.

“Saya juga mengalu-alukan keputusan meluaskan skop ubat-ubatan yang berkadar sifar di bawah GST, walaupun saya ingin menggesa kerajaan untuk mengkadarkan sifar terus kesemua perkhidmatan, ubat dan juga peralatan kesihatan, untuk tidak menambah beban rakyat,” ujarnya.

Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai turut mempersoalkan sama ada kerajaan sudah bersedia melaksanakan cukai berkenaan, susulan pengumuman di saat-saat akhir.

“Kerajaan dan pihak Kastam punyai lebih enam tahun masa persediaan bagi menilai impak sosial dan merancang pelaksanaan GST.

“Malangnya, enam hari sebelum pengenalan GST, senarai pengecualian masih belum dimuktamadkan.

“Apakah pampasan dapat diberikan kepada syarikat penerbitan – sama ada berskala kecil atau besar, yang sudah membuat pembelian stok barangan sudah bercukai dalam senarai terdahulu?

“Ternyata, kegagalan Jabatan Kastam menjawab persoalan rakyat mencalar kewibawaan dan kesediaan kerajaan dalam memperkenal cukai baru kelak.

“Lebih malang, apabila soalan tidak terjawab dan mereka yang menyoal, dikasari dan ditangkap, kemudiannya didakwa,” katanya.

Semalam, Kementerian Kewangan menerusi satu kenyataan mengumumkan, kadar sifar ke atas buku diperluaskan kepada semua jenis bahan bacaan.

Selain buku, ubat-ubatan yang tidak dikenakan GST di bawah Senarai Ubat-Ubatan Penting Nasional juga diperluaskan daripada 2,900 kepada 4,215 jenama ubat.
Read more ...

MEPS ATM Kena GST


PUTRAJAYA: Hanya caj perkhidmatan bagi pengeluaran wang tunai di mesin pengeluar wang (ATM) melalui sistem pembayaran elektronik (MEPS) sahaja akan dikenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Seri Khazali Ahmad mengingatkan caj enam peratus itu hanya dikenakan ke atas transaksi ATM yang dilakukan dan bukan berdasarkan jumlah pengeluaran wang.

Ini bermakna, hanya caj RM1 bagi setiap transaksi menggunakan khidmat MEPS yang akan meningkat enam peratus bila GST diperkenalkan 1 April nanti.

Bagaimanapun, menurut Khazali, perkhidmatan pengeluaran wang tunai melalui bank sendiri tidak dikenakan cukai itu.

"Contohnya, kalau saya menggunakan kad bank CIMB Bank saya untuk keluarkan wang dari mesin ATM CIMB Bank, tiada caj akan dikenakan. Yang kena GST hanya apabila kita menggunakan perkhidmatan MEPS.

"Jika saya gunakan kad CIMB Bank saya untuk keluarkan wang di mesin ATM Maybank, MEPS akan kenakan caj RM1. RM1 ini sahaja yang tertakluk kepada GST," kata beliau selepas menghadiri majlis menandatangani perjanjian antara Jabatan Kastam dan bank pemungut cukai GST di Putrajaya.

Ditanya mengenai caj perkhidmatan bank lain, jelasnya semua perkhidmatan bank yang dikenakan caj oleh bank tersebut adalah tertakluk kepada GST.

"Kalau ada caj-caj yang dikenakan bank, itu tertakluk kepada GST. Sebab asasnya adalah caj perkhidmatan," tambah beliau.

Di majlis itu, tujuh bank telah dilantik oleh kerajaan sebagai agen pemungut cukai untuk menyediakan kemudahan pembayaran cukai GST bagi syarikat, melalui kaunter bank, mesin pendeposit wang dan laman sesawang bank berkenaan.

Bank terbabit ialah RHB Bank, Maybank, CIMB Bank, Public Bank, Bank Islam, Alliance Bank dan Hong Leong Bank.

Sementara itu, mengulas mengenai insiden bantahan kumpulan anti-GST di pejabat Kastam baru-baru ini, Khazali berkata pihaknya akan menjawab semua soalan berhubung GST yang dikemukakan kumpulan berkenaan di laman web rasmi GST dalam tempoh terdekat.

Kira-kira 100 aktivis mengadakan protes duduk dan bantah di hadapan Pejabat Kastam Kelana Jaya pada Isnin bagi menuntut pihak kastam menjawab sebanyak 106 soalan mengenai GST.

Jabatan Kastam hari ini memperjelaskan GST hanya dikenakan ke atas transaksi mesin ATM yang dilakukan, bukan berdasarkan jumlah pengeluaran wang.
 Pengguna media sosial juga tidak berpuas hati dengan caj GST ke atas MEPS.
Posted by Astro AWANI on Wednesday, March 25, 2015
Read more ...

Polis Akan Siasat BFM dan Individu Yang Mengugut


KUALA LUMPUR: Polis akan menyiasat individu yang mengugut penyampai radio BFM, Aisyah Tajuddin dan juga stesen radio itu sendiri, kata Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini.

Menerusi tweet terbarunya, Khalid berkata penulis skrip video yang dikatakan mempertikaikan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan juga akan disiasat.

“Kes BFM, @PDRMsia akan siasat kedua-dua pihak, Penyiar BFM dan yang ugut Penyiar. Penulis Skrip Penyiar juga akan dipanggil,” tulis Khalid di laman twitter peribadinya.


Pada 19 Mac, video bertajuk "Hudud Isi Periuk Nasi" telah dimuat naik. Skrip yang disampaikan oleh Aisyah telah mempertikaikan DUN Kelantan kerana meluluskan pindaan ke atas Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993).

Video tersebut menjadi viral dan menyebabkan Aisyah dilaporkan menerima ugutan bunuh dan rogol.

BFM kemudiannya memohon maaf dan menarik balik video tersebut.

Awal hari ini, Ketua Parlimen DAP dilaporkan kesal dengan sikap Khalid yang didakwa mempunyai perhatian selektif dalam tweetnya.

Kit Siang membuat kenyataan itu ekoran sikap Khalid yang dikatakan lambat dan tidak bertindak segera terhadap mereka yang menjadi dalang ugutan tersebut.

Read more ...

Rakyat Kelantan Sokong Penuh Hudud


KOTA BAHRU: Rakyat Kelantan menyambut baik bahkan bersedia sekiranya hukum hudud terlaksana di negeri berkenaan dan mengharapkan penguatkuasaannya dapat mengurangkan kadar peratusan kadar jenayah di negeri berkenaan.

Masyarakat dari pelbagai lapisan usia menyambut baik perkembangan berkaitan pelaksanaannya dan memberi pandangan bahawa hukum Allah itu merupakan suatu sistem yang dapat mencegah jenayah di Kelantan.

“Saya sokong pelaksanaan hukum hudud 100 peratus sebab ia dapat mengurangkan masalah jenayah bahkan tidak ada langsung insya-Allah,” ujar Mohd Abdul Aziz Ibrahim.

Bagi Mohd Fikri Abdul Aziz pula, beliau menyifatkan kelulusan enakmen itu suatu perkembangan yang baik.

“Undang-undang yang telah ditetapkan oleh Allah sepatutnya dilaksanakan. Ia suatu perkembangan baik dan telah diluluskan malah disokong oleh semua ahli dewan termasuk pembangkang.

"Apabila dilaksanakan nanti secara positifnya jenayah akan berkurangan kerana orang akan takut,” katanya.

Mereka juga senada dan tidak rasa khuatir atau takut atas pelaksanaan hukum hudud ini memandangkan sifatnya adil dan hanya terkena kepada yang melakukan kesalahan sahaja.

Selain mengharapkan supaya hukum hudud ini terlaksana mereka juga mengharapkan perlaksanaannya nanti mengikut kaedah syarak yang telah digariskan seperti yang termaktub dalam Al-Quran.

Semalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan sebulat suara meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015).

Rang undang-undang yang diluluskan di peringkat DUN ini akan di bawa ke Parlimen bagi mendapatkan sokongan majoriti bagi membolehkan Kelantan melaksanakan hukum hudud kisas dan takzir.
Read more ...

Bapa Aisyah Tolak Kecaman Masyarakat, Salahkan Universiti dan Ulama?


Insiden terbaru tentang pembaca berita BFM diancam bunuh, rogol dan dibakar hidup-hidup oleh mereka yang saya anggap sebagai warga maya Melayu-Islam menimbulkan persoalan yang serius bagi negara ini. Adakah negara ini selamat untuk dihuni oleh anak-anak kita?

Sekiranya membangkitkan pandangan yang mudah terhadap isu seperti hudud atau isu seperti demokrasi dan pilihan raya yang bersih, boleh mencetuskan ancaman bunuh, rogol dan dibakar hidup-hidup, maka apa maksudnya terhadap negara kita, rakyat dan kepimpinan kita? Di mana budaya ini datang?

Saya perhatikan bahawa mereka yang membuat ancaman seperti ini datang dari kebanyakannya orang Melayu yang saya anggap adalah Muslim. Di manakah kita, sebagai sebuah negara, telah melakukan kesilapan dalam mendidik orang Melayu ini? Apa yang kita ajar di sekolah menengah kita?

Lebih penting lagi adakah universiti awam kita menghasilkan mereka dengan budaya seperti itu? Saya secara jujur berharap mereka yang membuat ancaman itu tidak pernah menjejakkan kaki di universiti awam kita kerana jika tidak, saya ingin bertanya para naib canselor, jenis rakyat Melayu Malaysia apakah yang anda hasilkan?

Ya, mereka boleh diterima sebagai jurutera dan arkitek tetapi mereka hampir tidak boleh diterima sebagai warganegara Malaysia, atau orang Islam atau lebih teruk lagi, sebagai manusia dengan hati nurani yang berperikemanusiaan? Apa sudah jadi?

Saya ke masjid dan mendengar ribuan ceramah di YouTube oleh mereka yang dipanggil ustaz ternama dan saya tahu bahawa pemahaman mereka tentang Islam menjadi penyumbang utama kepada jenis-jenis komen yang dibuat oleh warga muda maya ini.

Walaupun saya berasa marah kepada warga maya yang telah membuat ancaman seperti itu, seolah-olah filem 'Terminator' yang memberondong orang dengan mesingan besar, tetapi saya bersedia memaafkan mereka kerana saya tahu masyarakat telah mewujudkan budaya tersebut.

Ketika Nabi Muhammad berdepan dengan penindasan terhadap orang muda dari Taif sehingga tubuhnya berlumuran darah, beliau berdiri di depan malaikat Jibril dengan tentera dari syurga yang bersedia untuk menghapuskan penduduk Taif, beliau berkata, "Tidak, jangan apa-apakan orang-orang ini kerana mereka tidak tahu apa yang mereka lakukan".

Mungkin generasi akan datang boleh terima mesej saya jika orang-orang ini tidak boleh menerimanya pada masa ini.

Rasulullah berhati mulia untuk mengampuni orang-orang ini kerana beliau tahu mereka yang melemparkan batu adalah remaja dan anak muda yang dipengaruhi oleh golongan tua mereka.

Saya takut, ulama kita mungkin mengajar jenama Islam yang amat jauh daripada contoh teladan mulia Rasulullah sendiri.

Dengan kejadian ini, saya bertanya sekali lagi kepada rakyat Malaysia... selamatkah kita untuk membesarkan anak-anak kita di negara ini? Jika tidak, perlukah kita mula mencari tempat lain dan mewujudkan tempat yang lebih selamat untuk membolehkan anak-anak kita mempunyai masa depan?

Saya menulis semua ini dengan hati yang berat. Saya menulis kata-kata ini sebagai warga Malaysia yang prihatin dan sebagai orang Islam demi semua anak-anak kita. Dan akhirnya, saya menulis semua ini sebagai bapa kepada  Aisyah Mohd Tajuddin, gadis BFM itu.

Antara komen pengguna facebook terhadap kenyataan bapa Aisyah:


Read more ...

Mogok di Lufthansa Sebabkan 800 Penerbangan Batal


BERLIN: Lufthansa membatalkan ratusan penerbangan yang menjejaskan 84,000 penumpang, susulan mogok oleh juruterbangnya buat hari ketiga berturut-turut.

Hampir 800 penerbangan jarak pendek dan sederhana dibatalkan pada Jumaat, termasuk 90 penerbangan disebabkan mogok yang diadakan pengawal trafik udara Itali, di mana Kesatuan Kokpit Vereinigung bercadang untuk mengadakan mogok yang menyasarkan pembatalan penerbangan jarak jauh dan kargo, esok.

Mogok itu berpunca daripada rancangan Lufthansa memotong bayaran peralihan untuk juruterbang berhasrat bersara awal yang dibantah kesatuan itu.

Jurucakap kesatuan itu, Ilona Ritter berkata, pihaknya bersedia mengadakan rundingan, namun Lufthansa perlu menunjukkan keikhlasan mereka untuk menyelesaikan pertikaian itu.

Dalam pada itu, Lufthansa memaklumkan telah mengemukakan tawaran lebih baik, pada bulan ini dan mendakwa tindakan mengadakan mogok menunjukkan kesatuan itu tidak mahu mencari penyelesaian untuk masalah berbangkit.

Juruterbang Lufthansa telah mengadakan mogok buat kali ke-14, sejak April lalu sehingga hari ini, mengakibatkan syarikat penerbangan itu terpaksa menanggung kerugian lebih 200 juta euro untuk tahun lalu sahaja.

Saksikan video penerbangan A380 Lufthansa:

Read more ...

Sambutan Hari Nyepi Sebabkan Pulau Bali Sunyi Sepi 24 Jam


JAKARTA: Pulau Bali – sebuah pulau pelancongan yang tersohor di Indonesia – akan sunyi dan sepi selama 24 jam mulai hari ini bermula pagi sempena sambutan Hari Nyepi iaitu hari raya bagi penganut Hindu di pulau berkenaan.

Media tempatan melaporkan seluruh kawasan dalam pulau Bali termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Gusti Ngurah Rai Bali di pulau itu ditutup daripada semua penerbangan.

Sambutan keagamaan tahunan utama tersebut sebenarnya merupakan Tahun Baru Saka mengikut kepercayaan penganut Hindu di pulau popular Indonesia itu dan kali ini Tahun Baru 1937 Saka mengikut kalendar tempatan jatuh pada 21 Mac.

Bagaimanapun, terdapat 500 pekerja yang bertugas jika berlaku kecemasan seperti pendaratan kecemasan pesawat atau penerbangsan ihsan melibatkan pesakit kes kritikal.

Hari Nyepi disambut dari 6 pagi hingga 6 pagi hari berikutnya dan dalam tempoh itu, penganut Hindu dilarang untuk menjalankan sebarang aktiviti luaran, menerangi rumah atau kawasan luar rumah dan dilarang beriadah mahupun berhibur.

Tujuan berada dalam sepi dan berdoa ialah sebagai menyucikan jiwa pada hari pertama sempena tahun baharu mengikut kalendar penganut Hindu itu.

Mereka dikehendaki tinggal dalam rumah tanpa menyalakan sebarang cahaya dan hanya berdoa seperti yang terdapat dalam empat rukun sambutan Hari Nyepi yang terkandung dalam Catur Brata Penyepian (Empat Rukun Penyepian).

Empat rukun tersebut ialah Amati Geni iaitu dilarang menyalakan api atau apa-apa sumber cahaya, termasuk sekali membuka api dapur. Oleh itu, penganut Hindu biasanya berpuasa pada hari itu.

Amati Karya iaitu dilarang bekerja kecuali perkara yang terpaksa atau diwajibkan seperti perubatan, keselamatan dan kes-kes kecemasan.

Amati Lelungan iaitu dilarang keluar rumah dan bersiar-siar termasuk memandu kenderaan dan Amati Lelanguan iaitu dilarang melibatkan diri dalam kegiatan hiburan atau riadah mahupun memasang radio atau televisyen.

Pegawai agama Hindu yang dikenali sebagai Pecalang akan membuat rondaan bagi memastikan peraturan Catur Brata Penyepian ini dihormati oleh semua pihak termasuk penduduk bukan beragama Hindu dan pelancong asing.

Setelah selesai upacara Nyepi iaitu pada hari kedua tahun baru itu penganut Hindu akan menyambut Ngembak Geni iaitu menziarahi kaum keluarga dan jiran tetangga untuk bermaaf-maafan sesama mereka.

Saksikan menjelang video menjelang perayaan Nyepi:

Read more ...

BFM Kesal Penyampai Video Satira Hudud Terima Kecaman


KUALA LUMPUR: Stesen radio BFM Media (M) Sdn. Bhd. dan Projek Dialog kesal dengan serangan peribadi yang dilakukan ke atas penyampai video ‘Hudud Isi Periuk Nasi?’, Aisyah Tajudin yang dikeluarkan pihak tersebut semalam di Youtube.

Dalam kenyataan hari ini, Aisyah dikatakan telah menerima ancaman bunuh dan juga rogol selepas muncul dalam video berkenaan.

Menurut kenyataan berkenaan, Aisyah bukanlah penyampai tetapi tetapi sebaliknya hanyalah pengganti untuk video tersebut sahaja.

“Dia juga bukan penulis skrip video berkenaan dan sebarang pandangan yang diutarakan tidak mencerminkan pendirian peribadinya mengenai isu berkenaan.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan dan ancaman yang dilakukan ke atas Aisyah yang mana ia bukan sahaja menyalahi undang-undang tetapi juga tidak melambangkan masyarakat yang aman dan bertolak ansur di negara ini,” kata kenyataan tersebut di sini hari ini.

Menurut stesen radio itu lagi, pihaknya juga memohon maaf dan tidak mempunyai niat untuk mempersoalkan pelaksanaan hukum hudud.

Jelasnya, pihaknya hanya meminta penonton untuk mempertimbangkan persoalan yang timbul di sebalik pelaksanaannya.

“Kami ingin memohon maaf jika ada kesalahan timbul dah telah mengambil keputusan untuk memadam video berkenaan yang mungkin menyinggung perasaan orang ramai,” ujarnya.

Read more ...

"Kalau Dah Jodoh" Ustaz Kazim Elias Rancangan TV Terakhir Beliau


BATU KURAU: Pendakwah terkenal Datuk Mohamad Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim mengumumkan menarik diri daripada menyertai sebarang program ceramah agama di televisyen.

Beliau bagaimanapun berkata bagi siaran yang telah dirakam dan yang telah ditandatangani kontraknya, ia tetap akan diteruskan.

"Saya juga menarik diri sebagai ahli panel Forum Perdana tetapi ceramah-ceramah biasa berjalan seperti biasa, cuma saya tidak lagi muncul dalam kaca televisyen melainkan dalam program 'Kalau Dah Jodoh' sebab saya masih ada kontrak dengan Astro.

"Saya rasa ini adalah penampilan terakhir saya dalam forum ini (Forum Perdana), saya ucapkan terima kasih kepada RTM, kepada para sahabat dan penyokong saya," katanya dalam Forum Perdana Hal Ehwal Islam secara langsung di TV1 di Padang Astaka Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Kamaruddin di sini malam tadi.

Ditemui pemberita kemudiannya, beliau berkata punca beliau menarik diri kerana beliau merasa kecewa berikutan terdapat pihak yang mengatakan beliau berdakwah untuk mencari duit sedangkan tujuannya adalah untuk membiayai Pusat Pendidikan Al-Barakah di Ipoh, Perak.

"Sebab kedua saya tidak pernah meletakkan bayaran terpulang kepada orang yang nak bagi dan duit bayaran ceramah itu dimasukkan ke sekolah tersebut.

"Saya merasa 'down' ada yang mengatakan saya (penceramah) penglipur lara sedangkan saya berceramah meninggalkan keluarga, isteri dan anak-anak untuk berdakwah, tiba-tiba dituduh sebagai penglipur lara.

"Saya mungkin terlalu keterlaluan berceramah dalam setiap saluran TV. Saya rasa saya kena beri peluang kepada penceramah lain untuk mengambil tempat saya. Jadi saya rasa saya akan berceramah di luar kaca televisyen, saya tidak menonjol seperti dulu," katanya.

Beliau berkata keputusannya itu lebih baik kerana Forum Perdana akan menjadi lebih ceria tanpa nyanyian dan "saya rasa itu yang terbaik bagi sesetengah pihak dan saya terima jika itu yang mereka mahukan."

Mengenai terdapat pihak yang mengatakan beliau berjenaka dalam menyampaikan ceramahnya, Mohd Kazim berkata itu adalah caranya untuk menarik hati pendengar.

"Kalau nak serius dengar hujah saya, pergi ke pondok pengajian saya dan saya tegas. Saya adalah pendakwah dan itu adalah cara saya untuk menarik hati golongan muda.

Apabila saya menyanyi, saya ketawa nanti ada orang marah saya. Orang mempertikaikan saya rasa sangat tak kena.

"Kalau yang pertikai orang tak pandai saya tak kisah, tapi yang mempertikai adalah orang alim dan saya menghormati orang alim. Jadi lebih baik saya mengundur diri.

"Saya kena hormat, lebih baik saya berceramah biasa di padang sekolah, masjid, surau tetapi tidak disiarkan dalam TV," katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang selama ini menyokongnya dan menyifatkan Zambry sebagai seorang yang sangat terbuka.
Read more ...

Mayat Bayi Lelaki Dalam Tin Biskut


SUNGAI PETANI – Mayat seorang bayi lelaki ditemui dalam sebuah tangki air di sebuah bangunan berdekatan Taman Jubli Perak, dekat sini.

Mayat ditemui dibungkus dengan kain dan dimasukkan dalam tin biskut kira-kira 11 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Khalil Ariffin berkata, pihaknya masih menyiasat sama ada bayi tersebut meninggal dunia terlebih awal sebelum diletakkan di dalam tangki itu.

Mayat telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk dibedah siasat.

Beliau berkata, mayat bayi terbabit ditemui seorang penghuni di bangunan berkenaan.

Khalil berkata, seorang wanita yang dipercayai ibu kepada bayi tersebut turut dihantar ke hospital bagi menjalani rawatan.

- BERNAMA
Read more ...

Alyah Lebih Tabah Setelah Bergelar Isteri Genap 2 Tahun


KUALA LUMPUR: Tanggal 18 Mac merupakan tarikh istimewa buat penyanyi, Alyah dan suaminya, Datuk Ramli MS, kerana ia merupakan tarikh pernikahan mereka.

Semalam, genap usia dua tahun mahligai mereka terbina dan bagi Alyah, ia adalah tempoh baginya untuk belajar selok-belok rumah tangga.

Menerusi laman Instagramnya, Alyah meluahkan rasa syukur, kerana dalam usia perkahwinannya itu, dia dapat belajar erti hidup, pengorbanan, mempertahankan rumah tangga dan menjadi lebih dewasa.

“Alhamdulillah, selamat ulang tahun kedua buat saya. Saya masih isteri dia, semuanya masih sama dan tiada apa-apa yang berubah.

“Ramai yang buat andaian sendiri, apabila saya tidak memakai cincin kahwin. Sebenarnya, saya memang tidak pakai cincin itu sejak dulu lagi, kerana saya seorang yang cuai dan pelupa.

“Bahaya untuk orang macam saya pakai cincin, tetapi ini tidak bermakna, perkahwinan saya dan suami ada masalah, kami memang okay dan saling belajar melayari kehidupan suami isteri,” katanya.

Sebelum ini, industri hiburan penah digemparkan dengan pengakuan Alyah mengenai suaminya yang merupakan komposer terkenal, sudah mendirikan rumah tangga bersama wanita lain.

Namun, sehari selepas itu, Alyah menarik balik kenyataannya itu, dengan memuat naik gambar dia dan suaminya yang sudah berbaik.

Read more ...

Mati Terjatuh Dari Kapal Persiaran


KUALA LUMPUR: Mayat seorang lelaki yang terjatuh dari sebuah kapal persiaran, sejak tiga hari lalu, akhirnya ditemui terdampar di tebing pantai, berdekatan muara Sungai Bako, Sarawak, petang tadi.

Mayat S. Kishan, 22, ditemui seorang nelayan yang sedang mencari ketam, kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak menerusi laman Facebooknya memaklumkan, gerakan mencari mangsa bermula Isnin lalu, sejurus mangsa dilaporkan terjatuh dari kapal persiaran tersebut.

Menurut jurucakap itu, gerakan mencari dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya, dengan kekuatan empat anggota yang turut disertai beberapa anggota polis.

“Jarak mangsa ditemui adalah lingkungan 24 kilometer dari pos kawalan bomba yang terlibat dalam misi mencari itu.

“Pihak bomba terpaksa menunggu selama satu jam, untuk memastikan air pasang surut, bagi membolehkan mereka sampai ke tempat mangsa ditemui,” kata jurucakap berkenaan.

Mayat kemudiannya dipindahkan dari bot bomba ke sebuah kapal milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang telah dimaklumkan untuk membantu misi mencari mangsa hilang itu dan dibawa ke jeti Pangkalan Maritim APMM Wilayah Sarawak, sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Read more ...

Nooryana Najwa Selamat Diijab Kabul


PUTRAJAYA: Majlis akad nikah anak perempuan Perdana Menteri, Nooryana Najwa dan pasangannya, Daniyar Kessikbayev selamat disempurnakan di Seri Perdana, malam ini.

Datuk Seri Najib Abdul Razak menyempurnakan sendiri akad nikah itu. Daniyar melafazkan akad nikah itu sekali dalam Bahasa Malaysia.

Adik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Johari dan Datuk Mohamed Nizam, menjadi saksi akad nikah itu.

Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajjah Haminah berkenan berangkat ke majlis yang bermula jam 9 malam itu.

Turut berangkat Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom, Sultan Perak, Sultan Dr Nazrin Shah Sultan Azlan Shah, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman serta menteri-menteri Kabinet juga hadir.

Turut bersama ibu Perdana Menteri, Tun Rahah Mohd Noah serta keluarga terdekat kedua-dua pasangan pengantin.

Hadir sama isteri Naib Presiden Indonesia, Ibu Mufidah.

Sebelum akad, khutbah nikah dibacakan oleh Ketua Penolong Pengarah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dr.Sirajuddin Suhaimi.

Takliq setelah selesai lafaz nikah dibacakan Daniyar di hadapan Imam Besar Masjid Putra, Putrajaya, Abd Manaf Mat yang sebelum itu membacakan doa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bertindak sebagai jurucakap mewakili keluarga pengantin perempuan, manakala jurucakap keluarga pengantin lelaki diwakili Tan Sri Dr Rais Yatim.

Selesai bersalaman dengan bapa mertua dan saksi, Daniyar yang berasal dari Kazakhstan kemudiannya menunaikan solat sunat.

Ini diikuti dengan upacara membatalkan wudhu' dan menyarung cincin antara kedua-dua pengantin.

Upacara merenjis pasangan mempelai dimulakan oleh Rahah, diikuti anggota keluarga Daniyar termasuk ibunya, Maira Kurmangalieva dan disusuli Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Nooryana Najwa, 27, mengenali Daniyar, 27, ketika kedua-duanya menuntut di Amerika Syarikat.
Read more ...

Lelaki Serang Duta AS Di Korea Selatan


SEOUL: Duta Amerika Syarikat ke Korea Selatan, Mark Lippert cedera dalam satu serangan oleh seorang lelaki bersenjatakan pisau di Seoul, lapor polis dan siaran televisyen Korea pada Khamis.

Saluran berita YTN yang memetik saksi dan sumber polis berkata, seorang lelaki dengan pisau kecil yang disorokkan di bahagian lengan kanannya menyerang Lippert ketika beliau menghadiri majlis sarapan pagi di Institut Kebudayaan Sejong di pusat ibu kota Seoul.

Paparan video jelas memaparkan duta itu sedang dikejarkan keluar dari bangunan terbabit dengan sebelah tangan di bahagian pipi kanannya manakala sebelah lagi tangannya berlumuran darah.

Lippert, 42, dibawa masuk ke dalam kereta polis dan dikejarkan ke hospital dan dilaporkan dalam keadaan ‘stabil’ oleh jurucakap kedutaan Amerika Syarikat.

Saksi juga berkata pasukan keselamatan polis dilihat menerkam ke arah penyerang yang berpakaian tradisional Korea dan didengar melaungkan slogan anti perang ke arah Lippert.

Amerika Syarikat dan Korea Selatan akan mengadakan satu latihan ketenteraan bersama minggu ini, menyebabkan hubungan kembali tegang dengan Korea Utara.

Hampir 30,000 anggota tentera Amerika Syarikat kini berpangkalan di Korea Selatan dimana Amerika Syarikat dikatakan akan mengambil alih operasi sekiranya berlaku konflik bersenjata dengan Utara.

Sementara itu beberapa laporan berita mengatakan penyerang terbabit sememangnya dikenali oleh pihak polis dan pernah menyerang Duta Jepun ke Seoul pada tahun 2010.


Lippert, bekas Pembantu Setiausaha Hal Ehwal Pertahanan Rantau Asia bagi Amerika Syarikat menjawat jawatan Duta ke negara itu sejak Oktober tahun lalu.

Beberapa laporan berita mengatakan penyerang terbabit dikenali oleh pihak polis dan pernah menyerang Duta Jepun ke Seoul pada 2010.
Read more ...

Wanita Berpantang Mati Terikat


PETALING JAYA: Seorang wanita yang masih dalam pantang ditemui mati dalam keadaan separuh bogel di bilik tidurnya di sebuah pangsapuri di sini, malam tadi.

Lebih menyayat hati, apabila mangsa seorang ibu muda berusia 23 tahun dipercayai dibunuh di depan anaknya yang baru berusia sebulan setengah. Bayi lelaki terbabit bagaimanapun dilaporkan selamat.

Ketika ditemui, tangan dan kaki mangsa diikat di dalam bilik sewaannya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Azmi Abu Kassim berkata kejadian disedari oleh suami mangsa sekitar jam 8 malam selepas gagal membuka pintu bilik sewaan mereka.

Beliau berkata mangsa bersama suami yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat pengeluar barangan komputer, tinggal di rumah milik majikan suaminya itu, yang turut dikongsi dengan lima rakan sekerjanya.

Pasukan forensik turut menemui senjata yang disyaki digunakan dalam kes pembunuhan kejam itu.

"Kami menemui senjata namun siasatan masih dijalankan sama ada senjata tersebut diguna oleh suspek untuk membunuh walaupun polis tidak menemui sebarang kesan tikaman di badan mangsa," katanya.

Pemeriksaan turut menemui kesan pecah masuk pada bilik mangsa.

Polis masih menyiasat punca kematian dan percaya ia sebagai kes bunuh. Suspek dipercayai seorang lelaki yang merupakan penghuni rumah tersebut. Mayat dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya, PPUM untuk dibedah siasat.
Read more ...

Pesawat Turkish Airlines Tersasar Dari Landasan


KATHMANDU: Sebuah pesawat Turkish Airlines hari ini berdepan detik cemas apabila tersasar dari landasan sewaktu mendarat di lapangan terbang Kathmandu, Nepal dan berakhir di kawasan rumput. Dalam insiden tersebut, kesemua 224 penumpangnya dikerah untuk meninggalkan pesawat dengan segera.

Pegawai penerbangan berkata, tiada penumpang atau anak kapal yang cedera dalam kejadian tersebut, walaupun seorang saksi menceritakan suasana panik apabila penumpang meninggalkan tempat duduk dalam keadaan kelam-kabut kerana ruang kabin dipenuhi asap selepas pesawat terhenti.

Menurut seorang jurucakap, Purna Prasad Chudal, lapangan terbang berkenaan kini ditutup kecuali untuk pendaratan helikopter.

Chudal berkata, juruterbang pesawat itu telah tersilap percaturan sewaktu percubaan awal untuk mendarat, sebelum membuat percubaan kedua yang akhirnya menyaksikan pesawat itu tersasar.

“Ketika pesawat hendak mendarat, kedudukannya telah terganjak dari landasan dan berakhir di kawasan padang rumput. Kesemua 224 penumpang telah Berjaya dikeluarkan, tiada kecederaan, semua selamat,” ujar pengurus besar lapangan terbang berkenaan, Birendra Prasad Shrestha.

Media sosial telah dibanjiri gambar-gambar pesawat dengan muncungnya yang terbenam ke tanah, sementara akhbar tempatan melaporkan bahawa gear pendaratan pesawat mengalami kerosakan.

Dikesh Malhotra, yang baru pulang dari lawatan bisnes, memberitahu impak pendaratan cemas itu membuatkan beg-beg dalam ruang simpanan barang jatuh ke atas kepala penumpang yang ketakutan namun kaku di tempat duduk masing-masing untuk menunggu pesawat berhenti bergerak.

“Kami dapat rasakan tayar yang tergelincir. Dari tempat duduk, saya dapat lihat seorang pramugari  menangis.

“Sejurus pesawat terhenti, asap memenuhi kabin dan menyukarkan pernafasan. Semua orang bingkas bangun dan menjerit agar pintu kecemasan segera dibuka. Akhirnya mereka mengumumkan evakuasi dan kami sangat lega,” ujar Malhotra, 28.

Chudal memberitahu, pihak berkuasa akan menjalankan siasatan mengenai insiden itu termasuk menyoal siasat juruterbang.

Pesawat tersebut mendapat izin untuk mendarat. Walaupun keadaan agak berkabus namun jarak pandangan adalah baik. Kami tidak pasti bagaimana hal ini berlaku,” kata Chudal.

Beberapa landasan kapal terbang di kawasan Himalaya dikenal pasti sebagai antara yang terpencil dan sukar di dunia, malah dikelilingi landskap puncak-puncak gunung bersalji. Ia memberi cabaran walaupun bagi juruterbang yang berpengalaman.

Siri insiden kapal terbang yang terhempas serta keputusan Kesatuan Eropah untuk menyenarai hitam semua penerbangan Nepal telah membuatkan kerajaan pengumuman perancangan untuk memasang radar dan sistem pemantauan cuaca yang baharu.

Dalam insiden terakhir pada Februari lalu, 18 orang terkorban apabila sebuah pesawat Nepal Airlines melanggar tebing bukit di di wilayah barat negara itu sewaktu hujan lebat.
Read more ...

Dr. Asri Halang UKE Jadi Panel Forum?


KUALA LUMPUR: Sekeping surat rasmi dalaman Jabatan Mufti Perlis kepada pengurusan penganjuran satu forum agama telah tersebar secara meluas di laman Facebook sehingga menimbulkan pertikaian di kalangan pengguna laman sosial itu.

Isi kandungan surat tersebut menyatakan ketidaksetujuan jabatan itu terhadap jemputan seorang ahli panel pada program sempena Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis yang ke-69 sehingga mendapat reaksi daripada pelbagai pihak.

Surat yang ditandatangani oleh Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abdidin atau lebih dikenali sebagai Dr. Maza itu menjelaskan pihaknya tidak bersetuju sekiranya penganjur mahu menjemput Datuk Kazim Elias sebagai panel jemputan.

Bagaimanapun, tulis Dr. Maza di dalam surat itu bahawa pihaknya menyambut baik hasrat penganjuran forum tersebut, namun, panel yang diundang itu dianggap terlibat dengan pembacaan riwayat-riwayat palsu.

Beliau turut menjelaskan perkara itu pada laman Facebooknya dengan memberitahu penceramah tersebut tidak pula dihalang untuk berceramah di Perlis.

Katanya, penyebaran surat tersebut tidak sepatutnya berlaku dan satu bukti yang menunjukkan kepalsuan dilakukan oleh penceramah itu turut disertakan.

Dalam satu siri ceramah, Kazim dikatakan dengan jelas menyebut bahawa Rasulullah SAW pernah menyediakan roti jala yang dicelup dengan kuah kari untuk diberi makan kepada tetamunya.

Ucapan Kazim itu telah menimbulkan kontroversi sehingga ada pihak yang mendakwa yang diperkatakannya sebagai palsu dan mengarut.

Lantaran itu, ramai yang memberi reaksi bahawa Kazim telah menyampaikan informasi salah dan ia boleh menjejaskan akidah masyarakat yang mengikuti ceramah-ceramahnya.

Bagaimanapun pendakwah terkenal, Datuk Mohamad Kazim Elias berkata beliau tidak bermaksud memberi contoh Nabi Muhammad S.A.W melakukan kenduri paling mahal dengan menyediakan roti jala yang dicelup dengan kuah kari seperti yang dipaparkan dalam sebuah buku dan juga rakaman ceramah yang tersebar.

Menurut Kazim yang dipetik dalam sebuah portal berita pada 21 Julai tahun lepas, sebenarnya mengikut sejarah, Nabi pernah menyediakan roti yang dicicah dengan kuah kambing dan bagi mengikut sunah Rasulullah, masyarakat zaman ini boleh menyediakan roti jala dicelup dengan kuah kari kepada tetamu yang hadir.

“Saya tahu ramai yang mempertikaikan tentang perkara itu. Takkanlah saya bodoh nak cakap Rasulullah beri makan roti jala kepada tetamunya. Zaman itu ada ke roti jala?

“Ia sebenarnya hanyalah satu contoh di mana jika Rasulullah menyediakan roti dengan kuah kambing, apa salahnya kita sediakan roti jala dengan kuah kari. Tetapi ramai yang salah faham,” katanya yang dihubungi mStar Online.

Pada tahun lalu, sebuah buku berjudul Tuhan Sedang Menguji Kita yang memetik ceramah-ceramah Kazim telah diterbitkan di bawah penerbitan Karangkraf.

Bagaimanapun buku tersebut menjadi bualan ramai apabila pada muka surat ke-51, terdapat artikel yang mengatakan kenduri Rasulullah S.A.W yang paling mahal adalah roti jala dicelup dengan kuah kari.
Read more ...

Trio Khan Dikecam Guna Kekerasan Melalui Filem


KUALA LUMPUR: Sebuah berita mengejutkan datang dari dunia politik India selepas salah satu parti yang berkuasa di sana, BJP MP, menuduh bahawa trio Khan iaitu Shah Rukh Khan, Aamir Khan dan Salman Khan tidak layak untuk beraksi di layar perak atau televisyen.

Menurut perwakilan parti tersebut, Sadhvi Prachi, trio Khan ini telah merugikan negara kerana peranan mereka mempromosikan adegan yang menggunakan kekerasan.

Tidak hanya trio Khan, Hrithik Roshan juga turut dipersalahkan keranan bertanggungjawab atas kebanyakan tindakan kekerasan yang dilakukan masayarakat India.

“Saya pernah bertanya kepada seorang anak kecil yang mengaku ingin menjadi seperti Hrithik Roshan, Shahrukh Khan, Salman Khan, dan Aamir Khan. Saya soal mengapa, jelasnya  mereka sangat bagus apabila bertarung dan melakukan adegan kekerasan," ujar Sadhvi kepada pihak media.

Jawapan tersebut membuatkan parti BJP MP menyarankan anak muda India agar tidak lagi menonton filem aksi Hrithik Roshan dan trio Khan di bioskop. Mereka juga menyarankan kepada pengikut sayap kanan Hindu agar membakar semua poster film trio Khan yang sedia ada.
Read more ...

Fitnah Kereta Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat Untuk Dijual?


KUALA LUMPUR: Seorang pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Raja Kamil memuat naik beberapa keping gambar kereta milik Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dikatakan ingin dijual.

Raja Kamil menerangkan kereta tersebut untuk dijual setelah dia berhubung dengan anaknya, Nik Mohamad Abduh.

Katanya lagi, kereta tersebut akan dijual kepada mereka yang menawarkan harga tertinggi.

“Kereta Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz untuk dijual. Dijual kepada yang menawarkan harga tertinggi.

“ps: yang ini, saya contact terus dengan anak arwah TGNA. Share kepada yang berminat,” katanya di status Facebooknya.

Sementara itu, ketika dihubungi The Rakyat Post, Ahli Parlimen Pasir Mas itu menjelaskan ianya adalah silap faham dan kenderaan tersebut bukan untuk dijual.

“Saya fikir itu silap faham kot. Tidak untuk dijual,” katanya kepada The Rakyat Post.
Read more ...

Baju Mutiara Bernilai AS$150,000 Ditemui Semula


Los Angeles: Pakaian bertatahkan mutiara yang bernilai AS$150,000 (RM542,345) yang dilapor dicuri dari bilik aktres Kenya Lupita Nyong’o ditemui semalam.

Menurut polis Los Angeles, gaun yang ditempah khas dan bertatahkan 6,000 mutiara itu hilang dari kamar hotel bintang pemenang Oscar berkenaan selepas ia menjadi tumpuan ketika Lupita memakainya di majlis Anugerah Academy, Ahad lalu.

“Pakaian seperti yang dicuri itu sudah ditemui,” kata jurucakap jabatan syerif Los Angeles County, Nicole Nishida.

Pakaian berjenama Calvin Klein yang direka oleh Francisco Costa itu dilaporkan hilang dari hotel London West Hollywood, tidak jauh dari Sunset Boulevard, lewat Rabu lalu.


Lupita memenangi Oscar untuk kategori pelakon pembantu wanita terbaik tahun lalu bagi filem ‘12 Years A Slave.’

Dia hadir pada majlis Ahad lalu untuk menyampaikan anugerah bagi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik. - Agensi
Read more ...

Nota Untuk Mati


Alor Gajah: Seorang lelaki sempat menulis sekeping nota perancangan hidupnya sepanjang 2015 termasuk ‘bersiap sedia untuk mati’ dan dikirim melalui aplikasi WhatsApp kepada rakan sebelum terbabit dalam kemalangan maut di Jalan Hutan Perca-Tampin, di sini, awal pagi semalam.

Nota yang ditulis Mohd Firdaus Jamaluddin, 23, dikirim melalui aplikasi WhatsApp tertera hasrat dia menyenangkan ibu bapa, memiliki kereta dan rumah sendiri, kahwin dengan perempuan Turki, mahu menjadi kapten kapal dan bersyukur dengan nikmatNya.

Mohd Firdaus yang juga kelasi kapal, sedang bercuti dikatakan menumpang lori muatan arang batu dipandu rakan, Mohd Faizal Musan, 23, tersepit di tempat duduk penumpang, selepas kenderaan itu hilang kawalan dan berlanggar dengan sebuah lori sebelum terbabas, jam 1.45 pagi.


Sumber berkata, sebelum kejadian, mangsa yang baru dua hari bercuti keluar dari rumah jam 10 malam bersama rakannya, Mohd Faizal sebelum minum bersama S Ramesh, 38, di gerai makan di pekan Alor Gajah, di sini.

Menurutnya, difahamkan, kedua-dua lori terbabit dalam perjalanan dari Bukit Bulat ke Gemencheh dengan membawa muatan arang batu ke kilang di sekitar Bahau sebelum kedua-dua lori terbabit dalam kemalangan.

Read more ...

Hanis Zalikha Kini Berhijab

Satu perkembangan yang cukup positif bagi pasangan ini dan kami sangat yakin peminat mereka berdua pastinya sangat gembira dengan penghijrahan Hanis Zalikha untuk bertudung menjelang hari bahagia mereka.


Berita gembira tersebut diumumkan sendiri Hairul di akaun Instagram miliknya dan tidak henti-henti mendapat pujian dan juga diiringi doa daripada minat mereka berdua. Jika diperhatikan, permintaan untuk berhijab ini juga sebenarnya adalah komen yang selalu bermain di laman sosial milik Hanis.

Tahniah kami ucapkan kepada pasangan ini yang bakal memasuki alam perkahwinan pada tahun ini. Kami pasti perubahan demi kebaikan ini bakal membawa perubahan yang cukup bermakna untuk pasangan ini.


Read more ...

Gelagat Menteri Pertahanan Jadi Jurukamera


GELAGAT Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengambil gambar pasangan warga Jerman di tempat pelancongan terkenal Angkor Wat mendapat perhatian pengguna laman sosial Facebook baru-baru ini.

Gambar tersebut dikongsi di laman Facebook beliau 22 Februari lalu.

Dalam entri tersebut Hishammudin menulis, "tidak menjangka permintaan dari pasangan warga Jerman yang meminta tolong merakamkan gambar mereka di Angkor Wat."

Aksi spontannya ini mendapat pujian pengguna laman sosial berkenaan. Antara komen-komen ialah, "terbaik Datuk Seri, kalau mereka tahu mereka dibantu oleh menteri Malaysia, alangkah hebatnya.

Ada juga komen berbunyi, "sangat merendah diri, semoga kekal dengan sikap sebegini."

Seorang lagi berkata, "mereka pasti berbangga bila mereka tahu anda adalah menteri. Mereka bertuah kerana anda menjadi satu minit jurugambar."

Hishammuddin ketika itu dalam rangka lawatan kerja ke Kemboja sempat meluangkan masa untuk melawat kompleks kuil terkemuka, Angkor Watt.
Read more ...

Putera William Lawat Mangsa Tsunami Jepun


ISHINOMAKI - JEPUN. Duke of Cambridge, Putera William berpeluang mendengar sendiri kisah menakutkan yang dilalui mangsa-mangsa tsunami yang terselamat dalam bencana alam itu dalam lawatan khasnya ke Jepun dan China yang bermula Khamis lalu.

Memetik laporan BBC, Putera William sempat melahirkan simpati atas kejadian yang menimpa rakyat Jepun itu.

“Ia kekal bersama anda selamanya. Anda ingat di mana anda berada. Ia tentu menjadi sesuatu yang menakutkan untuk anda dan semuanya,” katanya.

Gempa bumi berukuran 9.0 pada Skala Richter yang menggegarkan timur laut Pasifik pada 11 Mac 2011, mencetuskan gelombang tsunami dan memusnahkan ribuan kediaman serta loji nuklear Fukushima Daiichi.

Dalam kejadian bencana alam itu, hampir 19,000 orang terbunuh.

Sementara, di bandar Ishinomaki yang dilawati Putera William, seramai 3,000 penduduk terbunuh dan lebih 40,000 bangunan musnah.

Selepas selesai lawatan ke Jepun, Putera William akan meneruskan lawatannya ke Beijing, China.
Read more ...

Anak Ugut Ibu Dimaafkan Lepas Dari Hukuman Berat


KOTA BHARU - Kemaafan seorang ibu terhadap perbuatan anak yang mengugut untuk mencederakannya menyelamatkan lelaki tersebut dari hukuman berat, malah dia hanya didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini.

Tertuduh, Mohamed Haris Abdullah, 23, didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap Minah Ishak ,51, hingga menimbulkan ketakutan kepada mangsa di sebuah rumah di Jalan Tanjong Chat, Kampung Telaga Nibong, di sini, pada jam 8.30 malam, 3 Februari lalu.

Laporan dibuat abang pengadu yang mendapat tahu cerita dari ibunya bahawa tertuduh mengugut wanita itu. Ketika kejadian, tertuduh mengamuk hendak keluar dari rumah dan mengambil pemutar skru sambil mengeluarkan kata-kata ugutan berbunyi: “...setakat tiga orang ini, aku buat sampai tak mengucap”.

Pada prosiding hari ini, tertuduh yang diwakili peguamnya merayu hukuman ringan dengan alasan abangnya sudah menarik balik laporan yang dibuat.

Majistret, Mohd Firdaus Zainal Abidin yang mendengar kes berkenaan kemudian bertanya kepada tertuduh: “Sudahkan kamu meminta maaf kepada ibu kamu?”

Tertuduh kemudian menganggukkan kepalanya.

Mohd Firdaus bertanya lagi: “Sudah insaf ke atau nak buat lagi?”

Tertuduh pantas mengeleng-geleng kepala.

Denda dijelaskan oleh ahli keluarga tertuduh. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nurliyana Md Zukri.
Read more ...
ads