Anak 2 bulan maut terkena renjatan elektrik bersama bapa


SHAH ALAM: Seorang bapa dan anak lelakinya yang baru berusia dua bulan maut dipercayai terkena renjatan elektrik dalam kejadian di rumah mereka di Jalan Sungai Buaya, Kampung Chodoi, Banting pada Selasa.

Mangsa dikenali sebagai Mohd Amir Jiran, 45, manakala nama bayi tidak dapat dikenal pasti.

Ketua Balai Bomba Banting Mohd Jaslizad Jalil ketika dihubungi berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan pukul 3.39 petang dan jentera tiba di lokasi kejadian kira-kira 20 minit kemudian.

"Menurut saksi, renjatan elektrik itu dipercayai berpunca daripada kipas di rumah baharu mangsa yang masih dalam pembinaan, namun siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar," katanya.

Mohd Jaslizad berkata kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan terbaring di atas lantai rumah itu ketika bomba tiba di tempat kejadian.

Katanya pasukan perubatan kemudian mengesahkan Mohd Amir meninggal dunia di lokasi kejadian manakala anaknya meninggal dunia di klinik kesihatan berhampiran.
Read more ...

Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) dibuat tanpa rundingan SUHAKAM


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) kesal Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) diluluskan oleh Parlimen berikutan terdapat beberapa keraguan dalam beberapa peruntukannya.

Pengerusinya, Tan Sri Hasmy Agam berkata keputusan itu juga dibuat tanpa berunding dengan SUHAKAM terlebih dahulu.

“Di bawah akta telah dimandatkan, fungsi SUHAKAM antara lain adalah untuk menasihati dan membantu kerajaan merumuskan perundangan, arahan, tatacara pentadbiran dan mengesyorkan langkah-langkah yang perlu diambil berkaitan dengan hak asasi manusia.

“Suruhanjaya percaya bahawa terdapat banyak peruntukan dalam POTA yang bercanggah dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa, walaupun Malaysia memegang jawatan-jawatan berprestij di peringkat serantau dan antarabangsa, di mana terdapat jangkaan dalam peningkatan piawaian hak asasi manusia,” katanya.

Bagaimanapun, beliau memperakui jaminan yang diberikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa undang-undang itu tidak akan disalah guna untuk melenyapkan perbezaan pendapat politik.

“Tetapi kami tetap bimbang mengenai implikasi hak asasi manusia dalam berberapa peruntukan di dalam Akta berkenaan yang memerlukan perhatian sewajarnya.

“Oleh itu, suruhanjaya akan mengemukakan laporan penuh kepada kerajaan, selaras dengan mandatnya kerana akta itu terlalu luas tanpa perlindungan yang memadai daripada penyalahgunaan kuasa termasuk kekurangan pengawasan dan peruntukan yang tidak memuaskan bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti.

“Suruhanjaya beranggapan bahawa kekurangan perwakilan undang-undang terhadap orang yang dituduh semasa Inkuiri Seksyen 10(6) dan juga peruntukan untuk penahanan tanpa jangka masa dan tanpa perbicaraan sebagai perkara yang serius serta mencabul hak terhadap perbicaraan yang adil berdasarkan Artikel 5 Perlembagaan Persekutuan dan Artikel 10 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR),” katanya.

Beliau menambah, penahanan secara sewenang-wenangnya merupakan satu ancaman yang serius kepada kebebasan dan untuk menikmati semua hak asasi yang lain.

“Suruhanjaya sentiasa dan konsisten dalam menyeru agar perlindungan hak asasi manusia dan keselamatan awam haruslah menjadi pelengkap, oleh itu, POTA perlu mematuhi tanggungjawab hak asasi manusia antarabangsa Malaysia,” ujarnya.

Semalam, Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 bagi menangani aktiviti militan di negara ini akhirnya diluluskan menjadi suatu Akta di negara ini pada jam 2.25 pagi selepas dibahaskan lebih daripada 14 jam di Dewan Rakyat.
Read more ...

SAMM dakwa Tun M menghasut


KUALA LUMPUR: Pertubuhan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Pahang dan Selangor, hari ini membuat laporan polis terhadap mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed atas dakwaan menghasut.

Penyelaras SAMM Pahang, Amirul Syazwan Narzaruddin dan Penyelaras SAMM Selangor, Megat Khairul Anuar dalam satu kenyataan bersama berkata laporan polis itu adalah berkaitan kenyataan Tun Mahathir mengenai kes pembunuhan model warga Mongolia Altantuya Shaariibuu pada satu catatan blognya.

"Kenyataan Mahathir ini tanpa berselindung merupakan hasutan kepada orang ramai untuk membenci Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Bukan sedikit pemimpin pembangkang yang pernah disiasat, ditangkap malah didakwa dengan perbagai tuduhan kerana mengeluarkan hasutan hampir sama.
"Soalnya sekarang kenapa Mahathir tidak terusik, bebas mengeluarkan kenyataan menghasut rakyat membenci Perdana Menteri?" tanya mereka di dalam laporan polis tersebut.

SAMM Pahang membuat laporan polis tersebut di IPD Berserah, Pahang manakala SAMM Selangor membuat laporan polis yang sama di IPD Kuala Kubu Bharu.

Mereka berkata laporan ini bertujuan untuk memberi masa tempoh masa 10 hari kepada pihak polis untuk bertindak terhadap kenyataan Mahathir, dengan membuka kertas siasatan dengan segera.

"Sekurang-kurangnya Mahathir perlu dipanggil ke Balai Polis untuk dirakam percakapan," kata mereka.

Mereka menambah sekiranya tiada tindakan yang diambil ke atas Mahathir dalam tempoh 10 hari, maka ia akan dianggap bahawa tindakan menghasut untuk membenci Perdana Menteri itu akan menjadi halal.

"Maka jika ada pihak yang akan turun ke seluruh negara mencetak poster, risalah, pemidang, membuat ceramah atau seumpamanya bagi membangkitkan isu-isu yg dibangkit Mahathir, pihak tersebut juga tidak harus diganggu oleh pihak polis, seperti mana Mahathir," kata mereka.

Pada Rabu, Dr Mahathir dalam blognya berkata, beliau hanya bertanya siapa yang mengeluarkan perintah kepada dua anggota polis yang didapati bersalah membunuh Altantuya dan tidak berniat menuduh Najib melakukan jenayah kerana itu dapat disiasat oleh polis.

Katanya adalah tidak adil jika dua tertuduh, bekas anggota Unit Tindakan Khas, Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri dikenakan hukuman bunuh kerana mereka hanya mengikut arahan.

Dr Mahathir menjelaskan, beliau hanya mahu agar persoalan berhubung arahan untuk membunuh Altantuya itu terjawab.
Read more ...

Anwar masih kekal sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor


KUALA LUMPUR: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim masih kekal memegang jawatan Penasihat Ekonomi bagi negeri Selangor kata Menteri Besar Mohamed Azmin Ali.

Azmin juga berkata tiada sebarang keperluan untuk membuat sebarang pelantikan baru bagi jawatan itu buat masa ini.

Meskipun Anwar kini dipenjara, kata Azmin ia bukan halangan buat Anwar untuk menyumbang pendapat kepada pembangunan ekonomi negeri.

“Kalau pun dia dalam penjara apakah saya tidak boleh dapatkan nasihat beliau dengan penulisan dan rujukan, penulisan serta kertas kerja dibentangkan Anwar seluruh dunia.

“Saya masih boleh rujuk ideanya, beliau masih penasihat ekonomi,” kata Azmin di Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor pada Selasa.

Azmin menjawab pertanyaan ahli dewan yang mahu mengetahui status Anwar sebagai Penasihat Ekonomi Negeri.

Ketokohan dan pengalaman Anwar menurut Azmin lagi tidak perlu dipertikai kerana pernah diiktiraf di peringkat dunia.

“Euro Money mengiktiraf beliau sebagai salah seorang Menteri Kewangan terbaik selepas pelantikannya manakala pada 1996 dia diiktiraf sebagai “Finance Minister of the Year’.

“Beliau juga pernah menjadi pengerusi Bank Dunia bagi jawatankuasa pembangunan melibatkan negara maju serta negara sedang membangun,” kata Azmin lagi.

Pada 10 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar setelah mendapatinya bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan tujuh tahun lalu.
Read more ...

Pencuri Tinggalkan Nota Mohon Maaf dan Gambarnya


MOSCOW: Seorang pencuri di sebuah bandar kecil di Siberia meninggalkan gambarnya bersama nota permohonan maaf, selepas melakukan jenayah.

Pejabat Kementerian Dalam Negeri di Wilayah Kemerovo pada Jumaat memaklumkan, kes kecurian pelik itu berlaku di Prokopyevsk, kira-kira 3,100 kilometer dari timur Moscow.

Pencuri berkenaan bertindak memecah masuk sebuah rumah melalui pintu hadapan, sebelum mencuri sebuah gergaji rantai dan beberapa karton rokok.

Pemilik rumah itu menjumpai sekeping gambar di atas mejanya, bersama nota permohonan maaf tulisan tangan di bahagian belakang gambar itu.

“Saya akan serah diri hari ini. Tolong maafkan saya. Saya benci diri kerana berbuat begini,” demikian nota yang ditulis pencuri berkenaan.

Polis kemudiannya berjaya menahan lelaki berusia 26 tahun itu yang juga penduduk tempatan dan memiliki beberapa rekod jenayah lampau membabitkan kecurian.

Polis bagaimanapun tidak memberitahu bila kecurian itu berlaku.
Read more ...

Pengambilan Lesen Kereta dan Motorsikal Cuma Perlu 1 Ujian Sahaja


KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melaksanakan ujian tunggal bagi individu yang ingin memiliki lesen memandu kereta dan menunggang motosikal bermula bulan depan, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi.

Beliau berkata ini berikutan aduan serta kritikan yang diterima daripada orang ramai mengenai kekangan masa dan kos bagi menduduki dua ujian berasingan bagi mendapatkan lesen berkenaan.

"Untuk makluman, kerajaan telah mengambil kira segala pandangan orang ramai dan kita jangka akan laksana ujian tunggal mulai bulan depan.

"Kedua-dua ujian itu akan disatukan untuk kemudahan orang ramai selain mengurangkan kos bagi tujuan mendapatkan lesen berkenaan," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Hasbullah Osman (BN-Gerik) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Hasbullah ingin tahu mengenai langkah yang bakal diambil kerajaan bagi memudahkan rakyat memohon lesen memandu kereta dan motosikal di negara ini.

Bagaimanapun katanya, sukatan pelajaran kedua-dua ujian berkenaan adalah berbeza.

Katanya hasil kaji selidik yang dijalankan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menunjukkan peratusan kemalangan melibatkan motosikal adalah tinggi iaitu 60 peratus manakala 20 peratus kemalangan melibatkan kereta.

Menjawab soalan asal Shaharuddin Ismail (BN-Kangar) mengenai peratusan individu yang menduduki ujian berkomputer bagi mendapatkan lesen memandu, Aziz berkata 57 peratus calon lulus ujian undang-undang berkomputer bagi kali pertama, 38 peratus bagi kali kedua, 31 peratus bagi kali ketiga manakala 18 peratus calon mengambil ujian melebihi tiga kali.

"Ujian undang-undang berkomputer adalah bertujuan menilai dan menguji tahap kompetensi bakal pemandu dalam aspek pengetahuan berkaitan peraturan lalu lintas dan konsep pemanduan berhemah," katanya.

Sebagai kerajaan bertanggungjawab, Aziz berkata rakyat yang kurang mahir dalam penggunaan komputer termasuk penduduk luar bandar dan warga emas akan sentiasa dibantu melalui sistem ujian bertulis atau lisan yang memberi tempoh lebih panjang kepada calon untuk sesi menjawab soalan.
Read more ...

Rayuan BR1M Sehingga 15 April


KUALA LUMPUR: Tempoh rayuan bagi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2015 yang sepatutnya berakhir 31 Mac lepas, dilanjutkan sehingga 15 April, kata Kementerian Kewangan.

Kementerian itu menyatakan rayuan boleh dibuat di mana-mana cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang terdekat.

"Dengan pelanjutan tempoh rayuan, ia akan memberi peluang kepada pemohon-pemohon yang gagal mendapat bantuan itu untuk mengemukakan rayuan," menurut kementerian dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kenyataan itu juga menyebut kerajaan bersetuju pembayaran peringkat kedua BR1M 2015 dilaksanakan mulai 28 Mei depan.

Secara keseluruhan hampir 7.28 juta penerima telah mendapat manfaat daripada pemberian BR1M 2015 dan daripada jumlah itu 4.17 juta merupakan penerima bagi kategori isirumah di bawah pendapatan RM3,000.

"Seramai 410,000 lagi adalah penerima bagi kategori isirumah berpendapatan di antara RM3,001 hingga RM4,000, katanya.

Penerima bagi kategori individu bujang adalah seramai 2.7 juta orang, kata Kementerian Kewangan. Kerajaan memperuntuk RM5.3 bilion bagi menjayakan program BR1M 2015.

Orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol 1800-88-2716 atau menghantar emel ke br1m@treasury.gov.my, untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Read more ...

PTPTN Dikecuaikan GST


KUALA LUMPUR: Pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak akan dikenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP), kata Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah.

Katanya, sebarang bayaran balik pinjaman yang dilakukan melalui kaunter atau kios di mana-mana cawangan milik PTPTN tidak akan dikenakan CBP.
"Bagaimanapun bayaran balik melalui perbankan internet atau di luar daripada cawangan PTPTN akan tertakluk kepada institusi perbankan itu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Cabutan Hadiah Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) 2015 di sini, hari ini.
Beliau berkata pengecualian cukai itu memberi lebih peluang kepada peminjam PTPTN untuk terus melangsaikan hutang pinjaman mereka yang tertunggak.

Sementara itu, Shamsul Anuar berkata langkah kerajaan memberikan insentif diskaun 20 peratus bagi bayaran balik keseluruhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah berjaya menggalakkan peminjam yang telah disenarai hitam membuat bayaran balik.

Sehingga Selasa lepas, 33,059 peminjam telah mengambil peluang mendapatkan insentif diskaun itu yang melibatkan jumlah pinjaman sebanyak RM404.75 juta.

Daripada jumlah peminjam itu, 1,392 orang merupakan peminjam tegar yang tidak pernah membuat bayaran balik, melibatkan pinjaman keseluruhan sebanyak RM18.03 juta.

Sepanjang tempoh pemberian insentif berkenaan, sejumlah RM80.95 juta diskaun telah diberikan kepada peminjam manakala bayaran balik yang diterima adalah sebanyak RM323.80 juta.
"Daripada angka ini kita akan kaji dan lihat daripada pelbagai aspek dan menilai dapatan baru yang mungkin kita akan buat supaya trend pembayaran yang meningkat ini akan terus berlaku," katanya.
Pemberian insentif diskaun 20 peratus telah diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Belanjawan 2015, bagi membantu mengatasi masalah hutang tertunggak peminjam PTPTN.

Terdahulu Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh dalam ucapan perasmian mengumumkan kadar dividen SSPN-i bagi tahun lepas ialah sebanyak 4.25 peratus melibatkan peruntukan sebanyak RM50.56 juta.
"Kadar yang diberikan ini adalah lebih tinggi daripada kadar faedah dan keuntungan untuk akaun simpanan yang diberikan oleh kebanyakan institusi kewangan," katanya.
Beliau turut menggalakkan orang ramai melaksanakan perancangan kewangan yang baik melalui SSPN-i dengan membuat penabungan khusus bagi tujuan pendidikan tinggi di masa akan datang.
"Saya berkeyakinan penuh dengan adanya skim ini masalah keciciran di kalangan pelajar yang akan melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi akan dapat diatasi," katanya.
Sehingga 28 Feb lepas, sebanyak 2.2 juta akaun SSPN-i telah dibuka dengan jumlah deposit sebanyak RM1.6 bilion.
Read more ...

Tun M: UMNO Akan Kalah PRU-14


1. Ramalan oleh masyarakat sekarang ialah UMNO dan BN akan kalah Pilihanraya Umum ke-14 kerana terlalu banyak tuduhan yang dibuat terhadap Najib yang tidak dijawab olehnya.

2. Ia bermula dengan kes pembunuhan Altantuya, wanita Mongolia yang terlibat dengan skandal pembelian kapal selam.

3. Dua orang anggota polis dituduh menembak mati wanita berkenaan, dibicara, didapati bersalah, kemudian didapati tidak bersalah dan dibebaskan. Kemudian dibicara semula dan dikena hukum bunuh.

4. Seorang daripada mereka berada dalam tahanan tetapi Sirul seorang lagi berada di Australia. Dia membuat kenyataan bahawa dia diarah untuk membunuh.

5. Rakyat tertanya-tanya siapa yang memberi arahan. Sebagai pengawal peribadi Dato Sri Najib, dakwaan Sirul perlu disiasat untuk menentukan siapa yang memberi arahan. Tetapi selain daripada Najib berkata Sirul “merepet”, tidak ada siasatan yang dibuat. Ini adalah nyawa manusia. Amatlah zalim jika Sirul dibunuh kerana menjalankan arahan.

6. Kemudian kes 1MDB. Tuduhan penyelewengan dalam urusan wang berbillion Ringgit oleh Jho Low telah dibuat dengan bukti-bukti yang jelas. Tuduhan ini tidak dijawab selain dari berkata ia adalah pembohongan.

7. Kononnya aset 1MDB berjumlah 52 billion sedangkan hutang hanya 42 billion. Aset tidak jadi keuntungan sebelum dijual (dicairkan). Kenapa untuk membayar faedah sebanyak 2 billion pun terpaksa hutang dari Ananda Krishnan. Kalau 1MDB tidak rugi kenapa terpaksa hutang. Kenapa wang Kerajaan sebanyak 1 billion diberi kepada 1MDB setelah hutang dibayar?

8. Kononnya wang yang disimpan di Cayman Island sudah dibawa balik. Tetapi separuh disimpan dalam bank Swiss (BSI) di Singapura. Di mana pergi separuh lagi dari 6 billion? Kenapa wang ini tidak diguna untuk bayar faedah 2 billion.

9. Kononnya disimpan di Singapura kerana Bank Negara akan menyoal simpanan lebih dari 50 juta. Jikalau duit itu duit kita yang hanya disimpan di Cayman, apa masalahnya menjelaskan kepada Bank Negara punca wang itu. Lagi pun duit ini dimiliki oleh 1MDB yang dikuasai penuh oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan.

10. Soalan-soalan lain berkenaan 1MDB tidak dijawab selain daripada berkata asetnya besar. Soal harga tanah Kerajaan yang dibeli oleh 1MDB tidak dijelas. Sudah tentu jika dibeli dengan harga yang murah dan dinaik nilai berkali ganda, aset ini menjadi besar. Tetapi Kerajaan rugi banyak dengan tanah miliknya dijual dengan harga yang tidak mencermin harga pasaran.

11. US$700 juta dibayar kepada Petro Saudi untuk apa? Sudahkah ditentukan Petro Saudi memiliki konsesi kawasan minyak dan gas di Argentina dan Turkmenistan sebelum membayar wang yang begitu banyak.

12. Jho Low dilapor dalam New York Times, London Times dan Sarawak Report terlibat dalam pengurusan berbillion Ringgit duit 1MDB. Siapa dianya Jho Low yang begitu dipercayai oleh Dato Sri Najib. Pegawai Malaysia yang dilantik mengurus dana 1MDB mengaku mereka diarah oleh Jho Low yang mendakwa ia mendapat kepercayaan penuh dan arahan dari Dato Sri Najib.

13. Gambar-gambar Jho Low dan kelakuannya, umurnya yang amat muda serta cara hidupnya tidak menggambarkan peribadi yang menyakinkan orang ramai. Tetapi dia dilapur membeli rumah di New York dan Hollywood beratus juta Ringgit. Kemudian rumah-rumah ini dijual kepada anak tiri Najib dengan harga ratusan juta Ringgit bagi setiap satu kerana kononnya Jho Low telah jumpa rumah yang lebih indah di Hollywood yang harganya lebih tinggi.

14. Dari mana datangnya duit beratus juta kepada Riza Aziz tidak dapat dijelas. Keluarga Tun Razak termasuk Najib menafikan duit ini adalah dari keluarga. Pelaburan ratusan juta dalam filem “Wolf of Wall Street” oleh Riza datang dari mana?

15. Dan banyaklah lagi tuduhan dan soalan terhadap 1MDB yang ditubuh oleh Dato Sri Najib dan dikuasai sepenuh olehnya sebagai penasihat yang tidak dijelas dan dijawab selain dari menafi dan mendakwa semuanya bohong belaka. Laporan-laporan dalam akhbar di New York dan London amat memalukan negara.

16. Sementara itu, walaupun Kerajaan menghadapi kekurangan wang yang besar dan terpaksa hutang, Dato Sri Najib sebagai Perdana Menteri membeli sebuah lagi pesawat mewah. Umum mengetahui pesawat ACJ319 yang sedia ada diguna bukan sahaja untuk tugas rasmi tetapi sebagai kenderaan peribadi untuk Dato Sri dan Datin Sri.

17. Dalam keadaan ekonomi tidak menentu, dalam keadaan rakyat terpaksa bayar cukai yang lebih tinggi, dalam keadaan nilai Ringgit yang menurun teruk, dalam keadaan kos sara hidup meningkat dan rakyat dilanda banjir dan kehilangan ratusan juta Ringgit, Kerajaan membazirkan wang ratusan juta untuk pesawat mewah walaupun sudah ada pesawat-pesawat milik Kerajaan.

18. Cara pembelian tidak dapat menyembunyi bahawa akhirnya Kerajaan terpaksa menanggung beban pembelian ini. Jika syarikat bukan Kerajaan yang secara rasmi membeli, bayaran melalui lease (sewa) lebih tinggi daripada belian secara langsung kerana terpaksa memberi keuntungan kepada pemilik dan faedah yang dimasukkan.

19. Selain daripada ini dasar-dasar pemerintahan Dato Sri Najib terhad kepada pemberian wang percuma, menimbul kemarahan orang Melayu dengan mengenepikan Dasar Ekonomi Baru kerana ingin mendapat sokongan orang Cina. Namun penolakan BN dalam PRU 13 membuktikan orang Cina tolak pemerintahan Najib.

20. Sesungguhnya rakyat, baik Melayu, Cina, India atau suku kaum Sabah dan Sarawak sudah tidak percaya lagi kepada Dato Sri Najib. Ahli UMNO dan pemimpinnya perlu sedar bahawa UMNO dan dengan itu BN akan kalah jika Dato Sri Najib memimpin UMNO hingga PRU 14. Apabila UMNO kalah, orang Melayu akan kutuk kepimpinan yang menjadikan parti keramat ini begitu lemah sehingga ditolak oleh bangsa Melayu sendiri. Sekali UMNO kalah, ia tidak akan dapat dipulih semula.

21. Ramai juga ahli dan pemimpin UMNO yang setia secara buta tuli kepada pemimpin. Saya juga setia tetapi kesetiaan saya ialah kepada parti dan orang Melayu yang diwakili olehnya. Bukanlah mudah bagi saya menulis blog ini. Tetapi demi bangsa dan Negara saya terpaksa dedah semua ini.

22. Saya belum nyanyok walaupun umur hampir 90 tahun. Sesiapa yang berkata saya nyanyok sebenarnya menipu diri.

23. Melayu hanya akan selamat jika bersikap bangsa lebih utama daripada diri sendiri.

By Tun Dr Mahathir ...
Read more ...

Dadah: Mamat Exists Di Penjara 8 Bulan


RAUB – Bekas vokalis kumpulan Exists, Mohd. Ali Kamarudin atau Mamat didenda RM4,500 atau penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas mengaku bersalah atas tuduhan memasukkan dadah ke dalam badannya dua tahun lalu.

Mamat yang memakai baju lokap ungu dan memakai penutup mulut ekoran masalah kesihatan bagaimanapun gagal membayar denda itu.

Majistret Siti Suriatey Mohamed Yusof turut memerintahkan Mamat, 37, diletakkan di bawah pengawasan Balai Polis Tampoi, Johor selama dua tahun selepas keluar dari penjara.
Read more ...

Anwar Hilang Kelayakan Ahli Parlimen, PRK Sedia Menanti


Kuala Lumpur: "Pemuda UMNO sudah bersedia dengan apa juga arahan pucuk pimpinan. Kita akan gerakkan jentera yang sudah bersedia sejak dua bulan lalu," kata Naib Ketua Pemuda UMNO Khairul Azwan Harun.

Katanya, peluang pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh akan digunakan sebaiknya untuk menjelaskan isu-isu berbangkit serta dasar kerajaan kepada pengundi di kawasan itu.

"Kita memang bersedia. Sama ada calon dari kalangan Pemuda atau tidak itu terserah pada pucuk pimpinan. Wanita dan Puteri juga akan menghantar nama, kita juga akan hantar seperti mana biasa," katanya pada sidang media selepas merasmikan Pra Pelancaran Program HELP Tuisyen 2015 di sini, sebentar tadi.

Beliau mengulas mengenai perkara itu selepas kerusi Parlimen Permatang Pauh diisytiharkan kosong berkuat kuasa 16 Mac lalu selepas Lembaga Pengampunan menolak petisyen diraja yang dipohon Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya seperti mana PRK lain, Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin Abu Bakar akan menyatakan pendirian sayap parti itu kepada pucuk pimpinan untuk memberi peluang baru dalam kalangan orang muda dan setakat ini pergerakan itu sudah mempunyai beberapa nama.
Read more ...

2 Pesawat UAE Nyaris Bertembung di Lautan Hindi


DUBAI, 1 April: Dua pesawat daripada dua syarikat penerbangan utama di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) nyaris bertembung, akibat terbang terlalu dekat antara satu sama lain di Lautan Hindi.

Jabatan Penerbangan Awam (DGCA) telah memulakan siasatan ke atas kejadian yang berlaku pada Ahad malam lalu.

Ketika kejadian, pesawat Emirates penerbangan EK-706 dalam perjalankan dari Dubai ke Seychelles, manakala pesawat Etihad penerbangan EY-622 pula berlepas dari Abu Dhabi menuju Seychelles.

“Semua pesawat Emirates dilengkapi peralatan yang akan memaklumkan kru mengenai trafik sekeliling, dalam kadar segera.

“Kru telah memaklumkan pihak berkuasa berhubung insiden itu dan kemudian membuat laporan keselamatan udara yang akan dikemukakan kepada Kawalan Trafik Udara Mumbai,” demikian menurut kenyataan Emirates.

Seorang jurucakap Etihad Airways pula mengesahkan syarikat penerbangan itu sedang menyiasat insiden berkenaan.

Menurut sumber, kedua-dua pesawat itu menerima “nasihat penyelesaian” daripada Sistem Pencegahan Perlanggaran Trafik (TCAS).

Semua pesawat komersial dilengkapi TCAS yang terdiri daripada sebuah radar dan transponder yang membekalkan semua maklumat trafik udara di sekitar pesawat itu.

Disebabkan penutupan ruang udara Yaman yang sedang bergolak, Emirates dan Etihad bertindak menukar laluan penerbangan ke Seychelles, menggunakan ruang udara Mumbai dan Muscat.
Read more ...
ads